SUKMA 2026: 80 pingat emas jadi sasaran, Selangor mahu kembali bergelar juara

15 Ogos 2026, 5:00 AM
SUKMA 2026: 80 pingat emas jadi sasaran, Selangor mahu kembali bergelar juara
SUKMA 2026: 80 pingat emas jadi sasaran, Selangor mahu kembali bergelar juara
SUKMA 2026: 80 pingat emas jadi sasaran, Selangor mahu kembali bergelar juara

SHAH ALAM, 15 OGOS: Tekanan beraksi di laman sendiri perlu diterjemahkan sebagai motivasi buat atlet Selangor dalam misi memburu 80 pingat emas sekali gus kembali bergelar juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.

Ketua Kontinjen SUKMA Selangor Abbas Azmi berkata beliau yakin dengan kemampuan barisan atlet negeri berdasarkan persiapan rapi yang dilaksanakan termasuk aspek fizikal dan psikologi.

Bagaimanapun, beliau mengakui keputusan sebenar pertandingan turut dipengaruhi beberapa faktor termasuk keadaan semasa, emosi atlet dan cuaca.

“Saya tak boleh kata 100 peratus kerana ia bergantung juga kepada keadaan semasa, mood atlet, cuaca dan pelbagai faktor lain yang akan mempengaruhi keputusan pertandingan.

“Tetapi buat masa ini saya yakin sekurang-kurangnya 80 hingga 85 peratus kesediaan atlet kita untuk mencapai sasaran 80 pingat emas,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Ketua Kontinjen SUKMA Selangor Abbas Azmi ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 6 Ogos 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Pada masa sama, Abbas berkata persiapan fizikal dan latihan sahaja tidak mencukupi tanpa mentaliti ‘sang juara’ serta hala tuju jelas dalam diri atlet.

“Pemikiran dan sikap yang saya tanamkan kepada mereka ialah kita nak jadi sang juara. Bila sang juara disertakan dalam pemikiran mereka, mereka akan berlatih untuk menjadi seorang sang juara.

“Sebab itu antara slogan saya ialah Selangor Juara, bukan Selangor Boleh. Kita dah boleh, sekarang kita nak juara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan atlet supaya memanfaatkan peluang mewakili Selangor pada SUKMA untuk membina reputasi dan melangkah lebih jauh dalam kerjaya sukan.

“Daripada beribu-ribu anak muda yang ada, mereka yang terpilih dan dapat peluang untuk bertanding dalam SUKMA. Jadi, ini peluang terbaik untuk membina reputasi dan pergi lebih jauh selepas ini,” ujarnya.

SUKMA ke-22 mempertandingkan 469 acara daripada 37 jenis sukan meliputi sembilan daerah, membabitkan 52 venue di seluruh negeri sepanjang temasya dari 15 hingga 24 Ogos.

Para SUKMA pula diadakan dari 5 hingga 14 September melibatkan 369 acara daripada 10 jenis sukan antaranya renang, olahraga, badminton, ping pong, tenpin boling, boling padang dan memanah.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.