MOT teliti pendekkan tempoh Ujian Larian Tanpa Gagal ECRL tanpa jejas keselamatan

14 Ogos 2026, 7:26 AM
MOT teliti pendekkan tempoh Ujian Larian Tanpa Gagal ECRL tanpa jejas keselamatan
MOT teliti pendekkan tempoh Ujian Larian Tanpa Gagal ECRL tanpa jejas keselamatan
MOT teliti pendekkan tempoh Ujian Larian Tanpa Gagal ECRL tanpa jejas keselamatan

GOMBAK, 14 OGOS: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang meneliti kemungkinan memendekkan tempoh Ujian Larian Tanpa Gagal (FFR) bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), yang lazimnya mengambil masa antara dua hingga tiga bulan, bagi membolehkan perkhidmatan itu beroperasi lebih awal.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata proses berkenaan akan dipermudah tanpa menjejaskan aspek keselamatan.

“FFR mengambil masa dua hingga tiga bulan, jadi kita mahu melihat bagaimana tempoh itu boleh dipendekkan.

“Apabila sampai ke peringkat FFR, semua ujian terdahulu sudah pun diluluskan,” katanya pada sidang media sempena Majlis Peluncuran Tren Pemeriksaan Komprehensif (CIT) serta Pelancaran Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan FFR di Stesen ECRL Gombak di sini, hari ini.

Loke menegaskan keselamatan kekal menjadi keutamaan MOT dan kementerian tidak akan mengambil sebarang risiko dalam usaha mempercepatkan proses berkenaan.

“Sudah tentu kita tidak akan mengambil sebarang risiko. Ini satu proses, jadi seperti yang saya katakan, kita akan memudahkannya tanpa menjejaskan keselamatan.

“Saya lebih takut daripada anda sekiranya terdapat sebarang risiko,” katanya.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke (kanan) meneliti papan penerangan ketika Ujian Integrasi Sistem (SIT) dan Ujian Larian Tanpa Gagal (FFR) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Stesen ECRL Gomba pada 14 Ogos 2026. — Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, kementerian turut meneliti aspek keselamatan dan tempoh proses kawal selia kerana terdapat prosedur tertentu yang mungkin mengambil masa lebih lama daripada sepatutnya berbanding negara lain.

“Kita mengambil kira dua perkara, pertama keselamatan dan kedua tempoh masa yang diambil.

“Kadangkala pihak berkuasa kita mengambil masa terlalu lama. Jadi, kita mahu memudahkan proses tanpa menjejaskan keselamatan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Loke mencabar Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company (CCCC) supaya mempercepatkan permulaan operasi ECRL kepada awal Disember, sebelum bermulanya cuti sekolah akhir tahun ini.

Kesemua 10 set tren ECRL perlu menjalani FFR sebelum perkhidmatan boleh dimulakan.

Beliau berkata lima set tren sudah tiba di Malaysia, manakala baki lima lagi dijangka tiba dalam beberapa bulan akan datang.

Sebelum dihantar ke Malaysia, set tren berkenaan sudah menjalani pelbagai ujian di fasiliti pembuatannya di China.

Di Malaysia, tren terbabit akan menjalani SIT bagi memastikan ia dapat beroperasi dengan baik bersama sistem elektrik, isyarat dan sistem lain di sepanjang laluan ECRL.

“Apabila semuanya dapat berjalan lancar, yang kita mulakan pada Ogos ini, barulah ia memasuki fasa FFR,” katanya.

Usaha MOT memendekkan tempoh FFR berpotensi membolehkan operasi ECRL dimulakan seawal Disember tahun ini berbanding awal tahun depan, sekiranya semua proses berjalan lancar.

Sementara itu, Loke berkata proses pengambilan dan latihan kakitangan ECRL bermula sejak dua tahun lalu, dengan ramai kakitangan Malaysia dihantar ke Liuzhou, China untuk menjalani latihan.

Sebanyak 10 set tren ECRL dijangka menyediakan kapasiti awal kira-kira 10,000 penumpang sehari, dengan setiap tren mampu membawa sehingga 425 penumpang.

Turut hadir Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han serta Presiden CCCC Zhang Bingnan.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.