ad
AGENDA

Isu debu tapak ECRL: MRL tambah kekerapan pembersihan, perketat kawalan

11 Jun 2025, 12:18 PM
Isu debu tapak ECRL: MRL tambah kekerapan pembersihan, perketat kawalan
Isu debu tapak ECRL: MRL tambah kekerapan pembersihan, perketat kawalan

SHAH ALAM, 11 JUN: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) mengambil langkah mitigasi bagi membersihkan laluan berdebu sekitar kawasan pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Batu 10, Gombak.

Langkah itu termasuk menambah kekerapan penggunaan trak tangki air tiga kali sehari untuk pembersihan bergantung cuaca dan tahap kekotoran, menurut Jabatan Komunikasi Korporatnya.

Selain itu, katanya, kontraktor juga memastikan penggunaan laluan pencuci tayar di pintu keluar masuk tapak pembinaan untuk mengurangkan sisa tanah dan habuk kenderaan berat ke jalan awam.

"Pihak MRL sedang meneliti langkah tambahan bagi mempertingkat kawalan habuk di kawasan terbabit dan komited memastikan kebajikan penduduk terus diutamakan sepanjang pelaksanaan projek ini.

[caption id="attachment_670544" align="aligncenter" width="721"] Terowong Gombak sepanjang 959 meter dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Kampung Batu 12, Gombak pada 29 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

"MRL juga mempertimbang cadangan penduduk supaya pergerakan kenderaan berat dihadkan waktu siang terutama waktu puncak bagi mengurangkan masalah debu yang berisiko mengancam kesihatan penduduk."

MRL berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan langsung dengan pengadu dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas serta menjelaskan tindakan yang telah dan akan diambil.

Menurut jabatan itu, pendekatan tersebut tanda komitmen mereka dalam menangani aduan secara telus dan bersemuka termasuk mengadakan sesi libat urus bersama penduduk setempat.

"MRL komited memastikan semua aktiviti pembinaan mematuhi piawaian alam sekitar termasuk Penilaian Impak Alam Sekitar dan Pelan Kawalan Hakisan dan Endapan serta tidak menjejaskan kesejahteraan komuniti setempat.

"Kami menghargai maklum balas penduduk dan akan terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam menambah baik pelaksanaan projek demi manfaat bersama," kata MRL.

Sebelum ini, tular dakwaan penduduk yang terpaksa hidup bertemankan debu setiap hari akibat tempias pembinaan projek ECRL sejak projek bermula pada penghujung tahun lalu.

Tinjauan media turut mengesahkan dakwaan penduduk apabila lebih 10 lori dikesan keluar masuk dalam tempoh setengah jam sehingga menyebabkan debu memenuhi ruang udara.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.