SUKMA 2026: Enam artis meriahkan pembukaan SUKMA Selangor esok, 30,000 dijangka hadir

14 Ogos 2026, 7:01 AM
SUKMA 2026: Enam artis meriahkan pembukaan SUKMA Selangor esok, 30,000 dijangka hadir
SUKMA 2026: Enam artis meriahkan pembukaan SUKMA Selangor esok, 30,000 dijangka hadir
SUKMA 2026: Enam artis meriahkan pembukaan SUKMA Selangor esok, 30,000 dijangka hadir
SUKMA 2026: Enam artis meriahkan pembukaan SUKMA Selangor esok, 30,000 dijangka hadir

SHAH ALAM, 14 OGOS: Persembahan Jaclyn Victor, Azlan bersama Balan Kash, Caliph Buskers, Nadeera Zaini dan Ayai Ilusi bakal memeriahkan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (SUKMA) XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, esok.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop berkata pendekatan penganjuran secara terbuka kali ini memberi peluang kepada orang ramai berada lebih dekat dengan atlet berbanding suasana pembukaan yang lazimnya diadakan di stadium.

“Kalau dahulu di stadium, kita duduk di tempat penonton dan melihat mereka berarak di trek sebelum berada di tengah. Kali ini pengunjung sangat dekat dengan atlet yang akan bertanding. Interaksi itu saya rasa memberi pengalaman baharu kepada mereka yang hadir,” katanya dalam program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Kelima-lima persembahan itu dijadualkan menjadi antara tarikan utama malam pembukaan yang turut menampilkan perarakan kontinjen, istiadat pembukaan, larian terakhir obor dan upacara menyalakan kawah SUKMA.

Foto Facebook Menteri Besar Selangor Incorporation

Seramai 30,000 pengunjung dijangka hadir ke Dataran Kemerdekaan Shah Alam bagi menyaksikan kemeriahan acara yang membawa tema ‘Di Sinilah Lahirnya Juara’ serta meraikan kepulangan temasya sukan terbesar negara ke Selangor selepas 28 tahun.

Konsep terbuka yang diketengahkan membolehkan rakyat menjadi sebahagian daripada pengalaman pembukaan, selain menyaksikan atlet daripada 15 kontinjen termasuk Brunei berarak dalam suasana lebih dekat dengan orang ramai.

Pada masa sama, pengunjung boleh mengunjungi Fiesta Platform Selangor (PLATS) di Padang B yang memberi ruang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk, menjana jualan dan membina jaringan perniagaan.

Saipolyazan berkata penganjuran kali ini diharap menjadi pengalaman bermakna kepada rakyat selain menyatukan sokongan terhadap atlet yang bertanding dalam temasya berkenaan.

“SUKMA tahun ini akan menjadi satu kenangan dan menjadi milik bukan sahaja Selangor tetapi rakyat di seluruh Malaysia. Sama-sama kita sokong pasukan masing-masing dan pastikan kemeriahan SUKMA 2026 menjadi kenangan kepada semua,” ujarnya.

Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 berlangsung pada 15 Ogos bermula 8 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.