
Islam bukan sekadar agama yang mengajar ibadah khusus seperti solat, puasa dan haji, bahkan memberi perhatian terhadap kekuatan jasmani. Ini demikian kerana tubuh badan yang sihat alat untuk melaksanakan ibadah dan memikul amanah kehidupan.
Oleh sebab itu, sukan dan kegiatan fizikal yang bermanfaat bukan sahaja diharuskan, malah boleh menjadi ibadah apabila diniatkan kerana Allah SWT.
Al-Quran mengisyaratkan kekuatan merupakan kelebihan yang dipuji. Allah SWT menceritakan tentang Talut yang dipilih menjadi pemimpin Bani Israil:
“Sesungguhnya Allah telah memilihnya menjadi raja kamu dan mengurniakannya keluasan ilmu serta kekuatan tubuh badan.” (Surah al-Baqarah: 247)
Ayat tersebut menunjukkan kekuatan fizikal salah satu ciri penting bagi seseorang yang memikul tanggungjawab. Namun, kekuatan itu hendaklah dipandu oleh ilmu dan ketakwaan.
Rasulullah SAW juga menegaskan kelebihan orang mukmin yang memiliki kekuatan. Baginda bersabda:
“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada Mukmin yang lemah, namun pada kedua-duanya tetap ada kebaikan.” (Riwayat Muslim)

Hadis itu bukan hanya merujuk kepada kekuatan iman, bahkan merangkumi kekuatan jasmani yang membantu seseorang membuat ibadah, bekerja mencari rezeki, berjihad mempertahan agama dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Dalam sirah nabi, kita melihat Baginda sendiri menggalakkan pelbagai bentuk kegiatan fizikal. Baginda mengadakan perlumbaan lari bersama isteri Baginda, Saidatina Aisyah. Pada suatu ketika Aisyah mengatasi Baginda.
Pada kesempatan lain setelah berat badannya bertambah, Baginda pula mendahuluinya sambil bersabda:
“Ini sebagai balasan kepada perlumbaan dahulu.”
Peristiwa tersebut menunjukkan sukan boleh menjadi medium mengeratkan hubungan kekeluargaan dan menceriakan kehidupan.
Selain itu, Rasulullah SAW juga menggalakkan umat Islam untuk mempelajari memanah, menunggang kuda dan berenang. Baginda bersabda:
“Memanahlah kamu, dan aku bersama Bani Fulan.” (Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis lain, Baginda menyebut antara perkara yang bermanfaat ialah memanah, melatih kuda dan bergurau dengan keluarga. Ini menunjukkan riadah yang membina kekuatan dan kemahiran sangat dihargai dalam Islam.
Para sahabat juga terkenal dengan kekuatan fizikal mereka. Umar bin al-Khattab pernah menganjurkan supaya anak-anak diajar berenang, memanah dan menunggang kuda.
Ali bin Abi Talib pula dikenali sebagai pahlawan yang gagah berani manakala Khalid bin al-Walid antara panglima perang paling hebat dalam sejarah Islam. Semua ini tidak mungkin dicapai tanpa tubuh badan sihat, latihan berterusan dan disiplin yang tinggi.
Tradisi menjaga kecergasan diteruskan oleh para ulama. Ramai ulama terdahulu gemar berjalan kaki dalam perjalanan menuntut ilmu.
Imam Ahmad bin Hanbal mengembara beribu-ribu kilometer demi mencari hadis. Perjalanan panjang itu membentuk ketahanan fizikal di samping memperkukuh jiwa.
Imam al-Nawawi pula terkenal dengan kesungguhan menuntut ilmu hingga hampir seluruh waktunya dipenuhi dengan membaca, menulis dan beribadah. Kesihatan tubuh membantu mereka bertahan dalam rutin yang sangat berat.
Malah, tokoh-tokoh Islam pada zaman silam tidak memisahkan pembangunan akal daripada pembangunan jasmani.
Mereka memahami tubuh yang sihat membantu menghasilkan pemikiran yang cerdas, ibadah yang khusyuk dan daya tahan menghadapi cabaran kehidupan.
Bagaimanapun, Islam menetapkan beberapa adab dalam bersukan. Antaranya ialah menjaga aurat, tidak melalaikan solat, tidak melibatkan unsur perjudian, tidak mencederakan diri sendiri atau orang lain serta mengelakkan permusuhan akibat fanatik terhadap sesuatu pasukan.
Matlamat utama sukan ialah membina kesihatan, ukhuwwah dan disiplin, bukannya melahirkan kesombongan atau permusuhan.
Pada masa kini, masyarakat berhadapan pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung. Sebahagian besarnya berpunca akibat gaya hidup yang kurang aktif.
Justeru, bersukan bukan lagi sekadar hobi, bahkan salah satu ikhtiar dalam menjaga amanah tubuh kurniaan Allah SWT.
Tubuh badan adalah nikmat yang akan dipersoal pada hari akhirat, sebagaimana sabda Rasulullah SAW bahawa seorang hamba akan ditanya tentang umurnya, ilmunya, hartanya dan tubuh badannya, kepada apakah ia digunakan.
Justeru, Islam memandang sukan sebagai kegiatan yang bernilai apabila dilakukan dengan niat betul dan mematuhi syariat. Al-Quran memuji kekuatan yang dipandu ilmu, hadis menggalakkan kecergasan fizikal, sirah memperlihat Rasulullah SAW bersukan manakala para sahabat dan ulama membuktikan kecergasan jasmani salah satu rahsia kejayaan mereka.
Oleh itu, umat Islam sewajarnya menjadikan sukan sebagai sebahagian gaya hidup seimbang agar lahir generasi yang kuat iman, tajam akal, sihat tubuh dan mampu berkhidmat kepada agama, masyarakat serta negara.



