TEHRAN, 12 OGOS: Iran dalam masa terdekat akan menjadi anggota Bank Pembangunan Baharu (NDB), institusi kewangan yang ditubuhkan kumpulan BRICS, kata Gabenor Bank Pusat Iran (CBI) Abdolnaser Hemmati sambil menekankan usaha memperluas kerjasama kewangan dan perbankan dalam kalangan negara anggota, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Bercakap di India ketika menghadiri mesyuarat BRICS, Hemmati pada Selasa berkata penubuhan NDB merupakan hasil kerjasama paling penting dalam kalangan negara BRICS dan mengesahkan bahawa Iran akan menyertai institusi itu dalam masa terdekat.
Beliau turut menyambut baik usaha India sebagai pengerusi BRICS sambil berkata kerjasama dalam kalangan negara anggota telah berkembang dalam bidang kewangan, perbankan dan ekonomi digital.
Hemmati menyifatkan mesyuarat BRICS sebagai peluang penting bagi Iran untuk mengadakan libat urus dengan pegawai dari negara yang mempunyai urusan kewangan dan perbankan yang signifikan dengan Tehran.
Beliau berkata negara anggota BRICS boleh memperluas perdagangan menggunakan mata wang masing-masing dan menggesa supaya kerjasama kewangan bilateral dan tiga pihak dalam kalangan negara anggota diperkembangkan.
Hemmati mengetuai delegasi peringkat tinggi ke India bagi menghadiri mesyuarat gabenor bank pusat BRICS, dengan lawatan itu memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama kewangan antarabangsa dan memperkukuh diplomasi perbankan.
Perbincangan itu turut menyentuh mekanisme praktikal bagi memudahkan perdagangan, mengurangkan kebergantungan kepada dolar dalam penyelesaian transaksi serantau serta meningkatkan penggunaan mata wang negara masing-masing dalam kalangan anggota BRICS.






