SERDANG, 12 OGOS: Kira-kira 2,000 pempamer produk agromakanan tempatan yang menyertai Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 bakal dipertemukan dengan 40 pembeli antarabangsa bagi memacu peluang eksport negara.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Isham Ishak berkata inisiatif menerusi program Hosted Buyer itu akan berlangsung dari 1 hingga 3 Sept, sempena MAHA Trade Days di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini.
“Pembeli antarabangsa yang dikenal pasti itu akan dipadankan dengan pempamer yang mempunyai produk sedia eksport menerusi sesi padanan perniagaan yang telah disusun rapi,” katanya pada sidang media mengenai MAHA 2026 di sini hari ini.
Isham berkata program itu adalah antara usaha menjadikan MAHA 2026 bukan sekadar platform pameran, sebaliknya platform perdagangan yang menghubungkan usahawan tempatan dengan pembeli dan pemain industri antarabangsa.
Beliau berkata KPKM juga akan mengumpulkan data hasil sesi padanan perniagaan berkenaan bagi menilai impak serta kemajuan ekonomi yang dicapai menerusi penganjuran edisi kali ini.
Menurut Isham, segmen MAHA Go Global akan menampilkan elemen Go Global, Grow Local (GGGL) yang memberi tumpuan kepada komoditi agromakanan bernilai tinggi untuk dikomersialkan ke peringkat antarabangsa.
“Pusat Sehenti Eksport akan disediakan bagi membantu usahawan memahami keperluan pasaran antarabangsa, termasuk piawaian, pensijilan dan syarat kemasukan sebelum produk boleh dieksport ke pasaran terpilih,” katanya.
Isham berkata MAHA 2026 disasarkan menjana hasil jualan langsung sebanyak RM58 juta serta potensi pelaburan bernilai RM8 bilion, mencerminkan peranan pameran itu sebagai pemangkin inovasi dan keterjaminan makanan negara.
Sebagai perbandingan, edisi 2024 merekodkan nilai RM7.2 bilion bagi potensi pembiayaan dan padanan perniagaan serta RM48.55 juta bagi jualan langsung.
“Melalui MAHA 2026, kami mahu memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan menggalakkan penggunaan teknologi moden, pertanian pintar dan meningkatkan produktiviti agromakanan.
“Pada masa sama, MAHA menjadi platform perdagangan dan pelaburan untuk mempertemukan usahawan dengan pembeli, pelabur dan pemain industri, di samping membuka lebih banyak peluang kepada produk tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Isham ketika mengulas mengenai sasaran pengunjung berkata pihaknya menyasarkan kehadiran empat juta orang, termasuk 800,000 golongan belia bagi memupuk minat generasi muda menjadikan sektor pertanian sebagai kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan.
Beliau berkata pelbagai tarikan baharu disediakan, antaranya Agro Safari, Kids Wonderland, Laman Smart Farming, Floating Market, MAHA Chillax Zone serta Rewang Warisan.
Pertunjukan dron serta bunga api turut diadakan sempena ambang sambutan Hari Kebangsaan dan dijangka menjadi antara tarikan utama kepada pengunjung.
“Kami berkongsi pengalaman pertanian bersama rakyat supaya mereka memahami pendapatan bukan sahaja datang daripada perkhidmatan atau pekerjaan di sektor industri tetapi pertanian juga adalah satu pekerjaan yang boleh memberi sumber pendapatan lumayan,” katanya.







