Model pembiayaan dan pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor sedang diperhalusi - EXCO

12 Ogos 2026, 3:08 AM
Model pembiayaan dan pembangunan Jajaran Rel Kita Selangor sedang diperhalusi - EXCO

SHAH ALAM, 12 OGOS: Kerajaan Negeri sedang memperhalusi model pembangunan dan pembiayaan paling bersesuaian bagi pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor.

EXCO Mobiliti Ng Sze Han berkata, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI selaku jawatankuasa teknikal pembangunan rel kini sedang meneliti serta mengenal pasti mekanisme yang berpotensi dilaksanakan.

“Mekanisme bagi pembangunan jajaran itu sedang diperhalusi bagi mengenal pasti kaedah yang paling menguntungkan dan bersesuaian berdasarkan kajian kebolehlaksanaan yang telah dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Meru Mariam Abdul Rashid yang ingin mengetahui hala tuju projek Jajaran Rel Kita Selangor pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurutnya lagi, Fasa Satu pembangunan rel terbabit dijangka mengambil masa selama 10 tahun yang merangkumi keseluruhan proses pembangunan.

“Tempoh tersebut termasuk penyediaan reka bentuk awalan, kajian terperinci, kelulusan skim kereta api oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), perolehan, pengambilan tanah, kerja pembinaan serta proses ujian dan pentauliahan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Mariam mengenai kemungkinan kerjasama dengan pihak swasta bagi menjayakan projek berkenaan, Sze Han memberitahu penglibatan sektor swasta dan agensi kerajaan sememangnya akan dipertimbangkan.

“Sudah tentunya projek berskala besar macam ini melibatkan pihak swasta dan agensi kerajaan.

“Buat masa ini masih dalam peringkat perbincangan untuk mendapatkan satu kaedah yang bersesuaian dan paling menguntungkan negeri Selangor, termasuk perbincangan dengan pelbagai pihak dan pihak swasta,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Jajaran Rel Kita Selangor akan dibina membabitkan laluan Sabak Bernam merentasi Sepang hingga Negeri Sembilan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata laluan sepanjang 211 kilometer (km) akan turut disokong beberapa laluan iaitu ke Pelabuhan Barat, Klang; Putra Heights dan Universiti Selangor (Unisel) Bestari Jaya.

Amirudin menjelaskan penyediaan Jajaran Rel Kita Selangor merupakan inisiatif Kerajaan Negeri untuk menyediakan satu sistem pengangkutan awam sekali gus membantu ke arah karbon sifar.

Jelasnya, pembinaan Jajaran Rel Kita Selangor kelak dijangka akan dapat memberi impak positif yang ketara dari aspek fizikal dan aspek sosio ekonomi di negeri ini.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.