SHAH ALAM, 29 DIS: Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) sedia menawarkan kepakaran kepada Kerajaan Negeri bagi memperluas rangkaian pengangkutan rel menerusi projek Jajaran Rel Kita Selangor.
Ketua Operasi Laluan Shah Alam, Mohd Ariffin Idris berkata Prasarana memiliki asas dan pengalaman kukuh dalam industri rel, termasuk penglibatan dalam pengendalian LRT Jabodebek di Indonesia.
“Prasarana memiliki kepakaran tinggi dalam industri pengangkutan awam lebih 30 tahun. Malah, kakitangan kami juga mempunyai kemahiran masing-masing dan jangan disia-siakan.
“Untuk perancangan Selangor itu, Malaysia sudah ada pakarnya. Saya yakin Prasarana sedia untuk bekerjasama menjayakan pelan rancangan ini,” katanya ketika majlis ramah mesra bersama pengamal media di Selangor, hari ini.
Ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025, Dato’ Menteri Besar memaklumkan projek Jajaran Rel Kita Selangor akan dibina melibatkan laluan sepanjang 211 kilometer, bermula dari Sabak Bernam, merentasi Sepang hingga ke Negeri Sembilan.
Susulan itu, pada Julai lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata proses pembangunan projek berkenaan telah memasuki fasa meneroka strategi pembiayaan serta mencari rakan pelaburan yang bersesuaian.
Menurut beliau, fasa tersebut penting bagi memastikan pelaksanaan rangkaian rel bersepadu itu dapat dilaksanakan secara mampan serta memberi manfaat maksimum kepada rakyat.
Projek Jajaran Rel Kita Selangor merupakan pelan jangka panjang Kerajaan Negeri bagi memperkukuh rangkaian pengangkutan awam di Selangor.


