Wanita didakwa terlibat kes duit kutu dihadapkan ke mahkamah hari ini

12 Ogos 2026, 1:12 AM
Wanita didakwa terlibat kes duit kutu dihadapkan ke mahkamah hari ini

SHAH ALAM, 12 OGOS: Wanita berusia 36 tahun yang ditahan polis kerana dipercayai terbabit kes hutang duit kutu akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas pertuduhan menipu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim berkata tindakan itu diambil selepas polis menerima 35 laporan daripada mangsa berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Kerugian keseluruhan yang dianggarkan setakat ini mencecah RM1.7 juta.

Menurut beliau, wanita terbabit sebelum ini direman empat hari sejak Khamis lalu sebelum tempoh remannya disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan.

Beliau berkata suami suspek yang berusia 39 tahun pula akan dipanggil sebagai saksi.

Media sebelum ini melaporkan tiga beranak berkenaan hilang sejak 20 Julai lalu selepas keluar dari rumah mereka di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam.

Susulan kehilangan itu, bapa wanita terbabit yang berusia 62 tahun membuat laporan di Balai Polis Bukit Kayu Hitam Isnin minggu lalu.

Laporan dibuat selepas lelaki berkenaan gagal menghubungi anak perempuannya, menantu serta cucu lelakinya yang berusia sembilan tahun.

Bagaimanapun, pasangan terbabit kemudian menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada jam 1.50 pagi Khamis lalu.

Pasangan itu kemudiannya direman selama empat hari sebelum tempoh reman disambung dua hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.