RCI TH: Polisi rosot nilai diubah dua kali dalam sehari bagi tingkat keuntungan

11 Ogos 2026, 6:58 AM
RCI TH: Polisi rosot nilai diubah dua kali dalam sehari bagi tingkat keuntungan

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mendapati polisi rosot nilai Lembaga Tabung Haji (TH) telah diubah daripada 70 peratus kepada 85 peratus dan seterusnya 90 peratus dalam tempoh satu hari bagi tahun kewangan 2017, sekali gus membolehkan keuntungan tahun berkenaan ditingkatkan untuk pembayaran agihan keuntungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata perubahan polisi rosot nilai itu dibuat sebanyak dua kali dalam tahun yang sama menyebabkan pelaporan kewangan tidak mencerminkan kedudukan kewangan TH yang sebenar.

Katanya perubahan itu dilakukan bagi membolehkan TH menunjukkan keuntungan pada tahun semasa yang sepatutnya menunjukkan kerugian dan turut diluluskan oleh menteri yang bertanggungjawab ketika itu.

“RCI juga mendapati rosot nilai aset seperti yang dikehendaki Piawaian Pelaporan Kewangan (FRS) seperti FRS 139 telah tidak dibuat menurut prinsip perakaunan yang diakui umum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai Laporan RCI TH serta usaha dan tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini.

Sebagai contoh, katanya bagi pelaburan saham asal berjumlah RM1,000, rosot nilai hanya dibuat apabila nilai pasaran saham berkenaan jatuh kepada RM100.

“Pada hakikatnya, sekiranya pelaburan berkenaan dijual dalam pasaran pada ketika itu, TH hanya akan dapat mengutip RM100, bukannya RM1,000 seperti yang dinyatakan dalam penyata kewangan.

“Kaedah pengiraan agihan keuntungan TH turut ditukar daripada purata baki deposit bulanan kepada purata baki terendah tahunan pada 2017,” katanya.

Zulkifli berkata selepas mendapat reaksi negatif daripada pendeposit, TH membuat keputusan mengubah polisi rosot nilainya sebanyak dua kali supaya keuntungan 2017 dapat ditingkatkan.

Katanya ini membolehkan hibah tambahan sebanyak RM600 juta diagihkan berdasarkan kaedah baki terendah bulanan semula pada kadar 4.50 peratus + 1.75 peratus seperti diumumkan sebelum itu.

“RCI juga mendapati berdasarkan Akuan Berkanun Saksi, Ketua Pegawai Kewangan ketika itu menyatakan pertukaran polisi rosot nilai dibuat bagi membolehkan TH mengagihkan keuntungan selaras dengan jangkaan pendeposit dan bukannya untuk memastikan penilaian aset menggambarkan nilai wajar seperti dikehendaki piawaian perakaunan.

“Tindakan ini tidak selaras dengan kehendak Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980 [Akta 240], yang menghendaki pemakaian prinsip perakaunan yang diakui umum dan konsisten,” katanya.

Katanya pada masa sama, RCI mendapati sekiranya standard Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion yang dilaporkan.

Beliau berkata RCI turut berpendapat pembayaran keuntungan TH dari 2014 hingga 2017 yang berpandukan Nilai Aset Boleh Direalisasikan (RAV) tidak selaras dengan Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535), berikutan pengiraan RAV bukan pengiraan yang mematuhi piawaian perakaunan yang diakui umum.

Katanya RCI turut mendapati penggunaan RAV bagi memenuhi nilai aset hanya dibuat bermula pada 2014, iaitu ketika liabiliti melebihi aset pada tahun tersebut bagi membolehkan pembayaran agihan keuntungan dibuat walaupun tidak memenuhi syarat.

Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Laporan itu turut mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudiannya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.