KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Sebarang siasatan berkaitan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH) mesti dilaksanakan dengan telus dan bebas sepenuhnya demi menegakkan hak serta keadilan kepada pendeposit serta seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata siasatan juga perlu dijalankan secara profesional supaya sebarang maklumat dan kefahaman dapat diperoleh berdasarkan kepada penilaian fakta serta undang-undang.
“Di luar sana, isu ini menjadi pertikaian, perbahasan dan tuduh menuduh banyak pihak hingga perkataan seperti ‘fitnah’ digunakan secara meluas. A mengatakan B memfitnah, C mendakwa difitnah oleh D dan bermacam-macam lagi. Sukar untuk dicerap siapa sebenarnya mangsa fitnah dan siapa yang memfitnah.
“Kesannya, sebahagian besar rakyat semakin keliru. Maka, langkah selanjutnya untuk membuat tindakan penyiasatan di peringkat agensi penguatkuasaan berkaitan adalah amat dialu-alukan,” katanya dalam sesi perbahasan pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat berkaitan laporan RCI TH di Parlimen hari ini.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata selain siasatan dan tindakan segera terhadap dapatan laporan RCI itu, setiap syor penambahbaikan juga wajar diteliti sebaiknya untuk melengkapkan proses pemulihan TH.
“Ia sekali gus membantu untuk kita memperkukuh hala tuju dan tadbir urus TH,” katanya yang turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada pentadbiran TH atas pelbagai inisiatif pemulihan sehingga berupaya meletakkan institusi penting itu kembali kepada status sihat pada hari ini.
Turut berbahas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri yang menyokong supaya pengurusan haji dikekalkan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), manakala perkara berkaitan kewangan dan pelaburan pula di bawah Menteri Kewangan.
Beliau berkata pembahagian tersebut merupakan satu bentuk pengkhususan tanggungjawab berdasarkan bidang kepakaran dan sifat tugas, selain dapat mengurangkan pertindihan tanggungjawab serta memastikan setiap perkara dikendalikan dengan kepakaran dan sokongan bersesuaian.
Mengenai lantikan politik dalam lembaga pengarah, Nancy berkata persoalan utama bukan semata-mata sama ada seseorang itu merupakan lantikan politik, sebaliknya sama ada individu berkenaan mempunyai integriti, kelayakan, pengalaman, kepakaran dan kemampuan untuk melaksanakan amanah diberikan.
“Jika seseorang mempunyai latar belakang politik, mempunyai kelayakan dan pengalaman yang sesuai serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan baik, maka kita perlu berlaku adil untuk mengiktiraf sumbangan tersebut. Tetapi, kita tidak boleh membiarkan label atau kedudukan politik menjadi pengganti kepada fit and proper requirements,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan kriteria khusus bagi pelantikan ahli lembaga, kaedah pemilihan yang jelas serta bidang kepakaran diperlukan perlu ditetapkan supaya pertimbangan utama bagi sesuatu pelantikan dibuat berdasarkan merit dan kesesuaian dengan tanggungjawab.
Mesyuarat Khas Dewan Rakyat membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan RCI TH yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.
Laporan itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi TH bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.






