KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar meninggalkan Dewan Rakyat hari ini dan tidak akan mengambil bahagian dalam sesi penerangan Menteri berkenaan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) melibatkan isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH).
Tindakan itu dibuat, selepas mereka tidak berpuas hati dengan keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul, yang meneruskan sesi penerangan tanpa kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Susulan itu, Johari membenarkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang keluar daripada sidang itu dan mesyuarat diteruskan mengikut aturan yang ditetapkan.
“Kalau siapa nak keluar, keluar. Kalau siapa nak tunggu, tunggu. Sebab rakyat sedang melihat anda. Baik, siapa yang rasa dia tak mahu bincang dan lihat ini bukan penting, sila keluar,” katanya sebelum meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan, meneruskan sesi penerangan.
Terdahulu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan cadangan supaya persidangan khas itu ditangguhkan, susulan ketidakhadiran Anwar dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang masing-masing sedang dirawat akibat masalah kesihatan.
“Saya membangkitkan perkara ini selaras dengan satu surat yang telah saya hantar kepada Pejabat Tan Sri (Johari) dan telah disahkan terima semalam, iaitu memohon penangguhan Sidang Khas Parlimen berkaitan laporan RCI TH dan kami mencadangkan agar Sidang Khas Parlimen tersebut ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai.
“Cadangan ini dibuat mengambil iktibar atas faktor kesihatan kepimpinan utama kerajaan, dengan Perdana Menteri sedang menjalani rawatan kesihatan manakala Timbalan Perdana Menteri (Fadillah) pula sedang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin pada sidang media selepas meninggalkan Dewan Rakyat berkata adalah wajar sekiranya pembentangan dan perbahasan RCI TH dapat dihadiri Perdana Menteri sebaik sahaja beliau kembali bertugas, memandangkan isu berkenaan sangat penting dan mempunyai kepentingan awam yang tinggi.
Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri di Dewan Rakyat bagi sidang khas itu amat penting, bagi memberi penjelasan komprehensif khususnya apabila perkara itu dibangkitkan oleh Anwar sendiri.
Difahamkan semua Ahli Parlimen pembangkang tidak akan mengambil bahagian dalam keseluruhan sidang khas berkenaan.
Sesi penerangan menteri mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dan usaha serta tindakan yang diambil bagi memulihkan kedudukan kewangan institusi tersebut, pada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Hari ini.
Pada 29 Julai, laporan RCI setebal 211 halaman didedahkan kepada umum, yang mengandungi pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.
Kerajaan mengumumkan penubuhan RCI pada 2021, diikuti pelantikan ahli-ahli RCI pada 20 Jan 2022, yang menyaksikan laporan RCI kemudianya dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Ogos 2022.







