Selangor belanja RM17.15 juta untuk Iltizam Selangor Sihat setakat Jun 2026

11 Ogos 2026, 12:57 AM
Selangor belanja RM17.15 juta untuk Iltizam Selangor Sihat setakat Jun 2026

SHAH ALAM: Sebanyak RM17.15 juta dibelanjakan bagi pelaksanaan program Iltizam Selangor Sihat (ISS) dalam tempoh 1 Januari hingga 30 Jun tahun ini.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata skim berkenaan mempunyai anggaran peruntukan kira-kira RM20 juta bagi 2026.

ISS merupakan skim kad penjagaan kesihatan dibiayai Kerajaan Negeri untuk penduduk Selangor yang layak, merangkumi manfaat rawatan pesakit luar, kemasukan ke hospital dan dialisis dengan kuota 100,000 penerima utama tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Sallehen Mukhyi (PN-Sabak) berhubung perbelanjaan program ISS pada persidangan Dewan Negeri Selangor di sini, semalam.

Menjawab soalan tambahan Danial Al-Rashid Haron (HARAPAN-Batu Tiga) mengenai kemungkinan peruntukan tahunan ditingkatkan bagi keluarga besar, Jamaliah berkata manfaat kemasukan ke hospital ketika ini adalah sehingga RM10,000 setahun.

“Kita boleh menelitinya, tetapi sekiranya skop diperluaskan lagi, ia akan memberi implikasi termasuk kemungkinan jumlah penerima perlu dikurangkan,” katanya.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan di Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 10 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Jamaliah berkata saringan asas turut disediakan menerusi ISS, manakala pemeriksaan lebih menyeluruh ditawarkan melalui program berasingan termasuk mamogram dan pemeriksaan mata.

Sementara itu, Sallehen turut meminta penjelasan mengenai pembayaran kepada klinik panel ISS dan langkah memastikan tuntutan diselesaikan mengikut jadual.

Jamaliah berkata tempoh ditetapkan bagi pembayaran tuntutan adalah antara 60 hingga 90 hari bekerja, dengan Kerajaan Negeri memantau status tuntutan serta pembayaran secara berkala bagi memastikan ia diproses dalam tempoh berkenaan.

Sallehen kemudian memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada beberapa klinik swasta berhubung bayaran yang didakwa masih tertunggak sehingga enam bulan.

Jamaliah berkata Kerajaan Negeri sentiasa memantau perkara itu selain menerima maklum balas daripada Ahli Dewan Negeri dan setakat ini semua kes yang diterima telah diselesaikan.

Beliau berkata penyelarasan antara Selcare Management selaku pentadbir tuntutan dengan Jabatan Kewangan turut diperkukuh bagi mempercepat proses pengesahan, kelulusan dan pembayaran, selain menggunakan platform komunikasi untuk tindakan susulan berterusan berkaitan tuntutan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.