Sidang khas Dewan Rakyat hari ini bincang Laporan RCI Tabung Haji

11 Ogos 2026, 12:11 AM
Sidang khas Dewan Rakyat hari ini bincang Laporan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Dewan Rakyat akan bersidang hari ini bagi membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Sidang khas yang dijadualkan bermula pada 10 pagi itu membuka ruang kepada Ahli Parlimen untuk meneliti laporan RCI setebal 211 halaman yang telah didedahkan kepada umum pada 29 Julai lepas, setelah kerajaan memutuskan bahawa laporan itu perlu diketahui rakyat.

Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil sebelum ini dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 35 hingga 40 Ahli Parlimen telah menyatakan kesediaan untuk mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan.

Mesyuarat khas itu dijadualkan dimulakan dengan sesi penerangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berhubung laporan RCI tersebut, diikuti dengan sesi pertanyaan dan perbahasan oleh Ahli Parlimen.

Sesi perbahasan itu kemudian dijangka digulung oleh Zulkifli dan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Laporan RCI tentang TH itu mendedahkan pelbagai penemuan berkaitan kelemahan pengurusan dan operasi institusi berkenaan bagi tempoh 2014 hingga 2020, selain mengemukakan 25 syor tindakan penambahbaikan dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh TH setakat 30 Julai lepas.

Antara dapatan utama RCI ialah kelemahan tadbir urus, termasuk campur tangan politik dalam pengurusan serta pengagihan keuntungan tanpa mengambil kira kesan rosot nilai dan kejatuhan nilai saksama pelaburan.

Menurut laporan itu, TH sepatutnya mencatat kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan, sekiranya Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS) diguna pakai sepenuhnya.

Dapatan itu menunjukkan kedudukan kewangan TH ketika itu berada pada tahap kritikal, selain wujud jurang defisit antara aset dengan liabiliti sejak 2014 serta beberapa isu berkaitan rosot nilai pelaburan.

Laporan itu turut mengenal pasti beberapa faktor yang menyumbang kepada krisis kewangan TH, antaranya pembayaran hibah yang tinggi, amalan perakaunan kreatif, ketidaktegasan Ketua Audit Negara, penambahan visi TH sebagai tonggak ekonomi ummah serta peningkatan tanggungan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS).

RCI turut mendapati wujud transaksi mencurigakan dan penyembunyian maklumat serta mencadangkan supaya audit forensik dijalankan, selain menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas dan segera terhadap setiap laporan polis serta aduan berkaitan isu pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Siaran langsung penuh dari Parlimen Malaysia boleh diikuti menerusi BERNAMA TV di ASTRO 502, UNIFI TV 631 dan MyTV 121, atau melalui Facebook Live dan YouTube BERNAMA TV.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.