SHAH ALAM, 10 OGOS: Harimau Malaya diyakini mampu melakar kejutan ke atas juara bertahan, Vietnam dalam aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026.
Tonggak skuad kebangsaan, Mohamadou Sumareh berkata barisan pemain negara mempunyai keupayaan untuk menewaskan Vietnam meskipun hadir sebagai pasukan bukan pilihan, lapor Berita Harian.
Pemain sayap berusia 31 tahun itu berkata perkara paling penting adalah memastikan skuad negara terus mempamerkan prestasi seperti yang ditunjukkan sepanjang kempen Kumpulan B.
“Vietnam adalah pasukan pilihan, itu memang jelas, namun ini adalah separuh akhir. Kami berkembang sebagai satu pasukan dalam setiap perlawanan.
“Bagi separuh akhir, apa sahaja boleh berlaku. Kami boleh mengejutkan mereka, tetapi perlu kekal merendah diri seperti yang dilakukan sepanjang kejohanan ini.
“Kami akan pergi ke perlawanan itu dan melakukan apa yang sudah kami lakukan,” katanya.
Harimau Malaya berdepan tugas getir apabila dijadual menentang Vietnam dalam aksi separuh akhir Piala ASEAN, dengan kemenangan terakhir Malaysia ke atas skuad Golden Star Warriors pada separuh akhir kedua kejohanan sama pada 2014.
Malaysia terlebih dahulu melayan kunjungan Vietnam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada aksi separuh akhir pertama Ahad ini sebelum bertandang ke gelanggang lawan untuk perlawanan timbal balik tiga hari kemudian.
Kali terakhir Malaysia mara ke final adalah pada 2018, namun tewas kepada Vietnam menerusi agregat 2-3.
Harimau Malaya pernah menjulang trofi Piala ASEAN sekali, iaitu pada 2010 selepas menewaskan Indonesia dengan agregat 4-2.
Mengulas prestasi pasukan selepas muncul naib juara Kumpulan B, Sumareh berkata beliau berbangga dengan pencapaian semua pemain, khususnya barisan muda yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman bersama skuad senior.
“Pujian kepada pemain muda kerana mereka memberikan segala-galanya. Bagi sesetengah daripada mereka, ini adalah panggilan pertama bersama pasukan kebangsaan tanpa pengalaman sebelum ini, tetapi mereka datang dan berjuang sehingga ke penghujung.
“Anda lihat, bukan 11 bintang membentuk satu pasukan, tetapi 11 sahabat membentuk satu pasukan dan itulah sebabnya kami berada di sini sekarang.
“Saya sangat bangga dengan mereka dan mereka melakukannya dengan sangat baik,” katanya.







