SHAH ALAM, 10 OGOS: Seorang pelajar yang ditampar empat kali oleh gurunya ketika sesi pembelajaran tujuh tahun lalu menerima ganti rugi keseluruhan RM88,069 selepas Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan membenarkan tuntutan saman sivilnya hari ini.
Keputusan dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu Mohd Rosli Yusoff selepas membenarkan tuntutan yang difailkan mangsa, Mohamad Adam Maidin, 21, melalui ibunya Noor Azleen Mohamad, 47, terhadap guru terbabit serta tiga defendan lain.
Guru berkenaan, Isamuddin Ismail, 63, yang ketika kejadian merupakan Penolong Kanan Pentadbiran, dinamakan sebagai defendan pertama dalam saman berkenaan.
Dalam keputusannya, Mohd Rosli mendapati guru terbabit melakukan serangan sentuh terhadap mangsa dengan menampar muka dan kedua-dua pipinya menggunakan tangan kanan serta kiri dari arah belakang.
Mahkamah turut mendapati beliau sebagai pendidik mempunyai tanggungjawab untuk berhati-hati terhadap pelajar.
Ketika kejadian pada 28 Januari 2019, Mohamad Adam merupakan pelajar Tingkatan Dua berusia 14 tahun.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu, mangsa didakwa berada di mejanya bersama rakan sekelas sebelum guru terbabit datang dari arah belakang dan menamparnya dengan kuat sebanyak empat kali.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan pada muka dan kedua-dua telinga selain mengadu pening, kurang pendengaran serta bunyi berdesing dalam telinga.
Ibunya kemudian membawa mangsa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Berek 12 sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian untuk pemeriksaan pakar telinga.
Laporan perubatan yang dikeluarkan pada Jun 2019 mendapati mangsa mengalami masalah pendengaran pada telinga kanan termasuk kehilangan pendengaran bercampur pada tahap ringan hingga sederhana yang didiagnosis sebagai kecederaan akibat trauma dipercayai ditampar.
Kejadian itu turut menyebabkan mangsa mengalami trauma sehingga terpaksa berpindah sekolah kira-kira sebulan kemudian kerana takut untuk kembali ke sekolah dan berhadapan dengan guru terbabit.
Peguam yang mewakili plaintif, Mohd Syukran Mohd Noordin berkata mahkamah membenarkan tuntutan anak guamnya terhadap semua defendan selepas mendapati terdapat kecuaian serta tanggungjawab yang perlu dipikul berhubung kejadian itu.
“Jumlah RM88,069 yang diperintahkan mahkamah itu merangkumi RM45,000 ganti rugi am, RM569 ganti rugi khas, RM11,250 ganti rugi teladan dan RM11,250 ganti rugi teruk selain faedah serta kos sebanyak RM20,000,” katanya seperti dilapor BH.
Saman sivil itu difailkan menerusi Tetuan Syukran Noordin pada Mac 2021, kira-kira dua tahun selepas kejadian.
Mangsa turut menamakan pengetua sekolah, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan, manakala semua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Siti Syakimah Ibrahim.







