
SEPANG, 9 OGOS: Kerajaan Selangor berharap penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa hadapan mendapat sokongan lebih menyeluruh daripada Kerajaan Persekutuan serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata, sokongan semua pihak penting bagi membantu negeri yang bakal menjadi tuan rumah memastikan temasya sukan kebangsaan itu dapat dianjurkan dengan lebih meriah.
"Harapan saya untuk SUKMA akan datang negeri lain yang mungkin terlibat perlulah ada sokongan daripada semua pihak khususnya Kerajaan Persekutuan dan juga Kementerian Belia dan Sukan untuk kita sama-sama bantu.
"Supaya dapat menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sukan Malaysia ini kerana semangat Sukan Malaysia adalah Sukan Kebangsaan jadi ia melibatkan kesemua negeri dalam Malaysia," katanya.

Beliau ditemui pada Majlis Penutup Larian Obor SUKMA 2026 sempena Hari Tanpa Kenderaan Majlis Perbandaran Sepang dan Himpunan Mega Sukarelawan SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini, hari ini.
Tambah beliau, SUKMA merupakan platform penting untuk atlet muda dari seluruh negara menunjukkan kebolehan dan bakat, selain menjadi ruang untuk mengenal pasti atlet berpotensi bagi diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
"Mereka ini telah berkorban masa, tenaga. Ada yang menangguhkan pengajian ada yang terpaksa meninggalkan keluarga untuk berlatih. Jadi masa inilah peluang dan ruang untuk mereka menunjukkan kebolehan menunjukkan bakat.
"Kita pastikan mereka mendapat peluang yang ada dalam SUKMA untuk kita kenal pasti bakat muda yang akan kita ketengahkan dalam sukan berprestij seperti Sukan SEA pada tahun akan datang kemudian Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik," katanya.
Beliau turut berharap atlet yang terlibat dalam SUKMA kali ini mampu membawa pulang pingat emas pertama Malaysia pada Sukan Olimpik akan datang.

Mengulas mengenai peruntukan SUKMA 2026, Mohd Najwan berkata Selangor memilih untuk mengalihkan tumpuan kepada gerak kerja bagi memastikan penganjuran berjalan meriah serta memberi impak kepada semua pihak.
"Kita mengambil kira faktor kemungkinan dari segi situasi ekonomi global sekarang di mana berlaku ketidaktentuan dan ada ada ikhtiar untuk kita menyusun semula peruntukan sebab itu kita (Selangor) berlapang dada. Kita 'move forward' kerana kita nak pastikan yang penting agenda pembangunan sukan itu tidak tercicir.
"Kita tak boleh tumpukan semata-mata kepada pembangunan material tetapi agenda pembangunan modal insan pembangunan sukan ini juga penting untuk kita membentuk generasi muda khususnya mereka yang terlibat dalam bidang sukan. Itu yang mustahak," tegasnya.











