Tiada keperluan PRU dalam masa terdekat, fokus pulih ekonomi rakyat – Fahmi

8 Ogos 2026, 7:32 AM
Tiada keperluan PRU dalam masa terdekat, fokus pulih ekonomi rakyat – Fahmi

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerajaan Perpaduan tidak melihat keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Fahmi Fadzil, berkata tempoh matang penggal hanya akan berakhir selewat-lewatnya hujung tahun depan.

Beliau berkata semua parti komponen Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan juga telah memberi komitmen untuk terus menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.

"PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan. Fokus Kerajaan dan kita dah dengar komitmen daripada rakan-rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan bahawa mereka akan kekal dengan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal," katanya seperti dilaporkan BH Online.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian selepas merasmikan siri ketiga Kempen Internet Selamat bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas desas-desus peletakan jawatan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, Fahmi berkata beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu dan masih menunggu kenyataan rasmi Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Sebelum ini, Chen memuat naik kepala surat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang yang dialamatkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun tidak menyatakan maklumat lanjut mengenai perkara itu.

Chen yang telah tiga penggal mempertahankan kerusi Parlimen Subang memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan media Isnin ini berhubung surat berkenaan dan pertemuannya dengan Johari.

"Pagi ini (Khamis) saya mengadakan pertemuan panjang dengan Tan Sri Johari. Kami sepatutnya bertemu selama 30 minit, tetapi akhirnya berbincang hingga sejam setengah.

"Apa yang penting saya sudah menyerahkan surat saya kepadanya dan akan mengeluarkan kenyataan media, Isnin ini," katanya.

Chen sebelum ini dilaporkan antara Ahli Parlimen yang hadir pada program pengumuman hala tuju politik bekas Timbalan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika mengumumkan pengambilalihan parti.

Sementara itu, mengulas desas-desus mengenai kedudukan DAP dalam Kerajaan Perpaduan, Fahmi berkata kerajaan tidak mahu mendahului keputusan yang bakal dibuat perwakilan parti berkenaan.

Minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memaklumkan parti itu akan menentukan kedudukannya dalam Kerajaan Persekutuan pada Persidangan Kebangsaan DAP yang dijadual berlangsung pada 16 Ogos ini.

Satu usul berkaitan perkara itu akan dibentangkan kepada perwakilan sebelum diputuskan oleh hampir 4,000 perwakilan yang layak menghadiri persidangan berkenaan.

Anthony turut menegaskan keputusan itu tidak akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC), sebaliknya diserahkan sepenuhnya kepada perwakilan melalui undian sulit.

Fahmi berkata setiap parti mempunyai hak untuk menentukan pendirian masing-masing melalui proses demokrasi, manakala perbincangan dalam gabungan terus dilakukan secara matang.

"Itu hak mereka. Saya tak boleh mendahului apa-apa yang ingin diputuskan oleh perwakilan. Tapi kita lihat komitmen rakan-rakan dalam sama ada Pakatan Harapan ataupun Kerajaan Perpaduan umumnya adalah untuk meneruskan usaha memperbaiki keadaan.

"Dalam demokrasi kita duduk, kita bincang, kita teliti apa keutamaan yang perlu kita berikan. Keutamaan adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat, ekonomi, dan juga pastikan ekonomi rakyat, ekonomi poket rakyat itu menjadi fokus," jelasnya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.