RS-2: Sasar kekalkan tanah hutan simpan sekurang-kurangnya 31 peratus

8 Ogos 2026, 12:00 AM
RS-2: Sasar kekalkan tanah hutan simpan sekurang-kurangnya 31 peratus

SHAH ALAM, 8 OGOS: Selangor menyasar untuk mengekalkan tanah hutan simpan sekurang-kurangnya 31 peratus daripada tanah negeri menjelang 2030, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sasaran utama digariskan dalam Misi Kelima Rancangan Selangor Kedua (RS-2) itu, bagi melindungi ekosistem semula jadi, menyokong biodiversiti dan mengukuhkan pertahanan semula jadi negeri terhadap risiko perubahan iklim.

“Selangor menyasarkan mengekalkan tanah hutan simpan sekurang-kurangnya 31 peratus daripada tanah negeri menjelang 2030,” katanya ketika membentangkan Usul RS-2 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

RS-1 mengukuhkan asas kelestarian Selangor dengan mencatatkan pencapaian ketara, termasuk litupan hutan yang meningkat kepada 31.7 peratus pada 2023 dan purata kadar kitar semula sebanyak 7.7 peratus sepanjang tempoh 2021 hingga 2025.

Ia merupakan hasil usaha terselaras merentas sektor air, sisa, biodiversiti dan inisiatif rendah karbon termasuk pemulihan sungai, tenaga boleh baharu dan pembangunan sisa ke tenaga.

Misi Kelima RS-2 bertemakan Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar dan daya tahan iklim dalam melindungi ekosistem serta memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.

Menerusinya, lima bidang keutamaan digariskan iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana; pemeliharaan dan biodiversiti; teknologi hijau dan bandar rendah karbon; pengurusan sisa dan ekonomi kitaran serta keterjaminan air.

Misi tersebut akan memacu pengurusan bersepadu sumber asli, memperluas penggunaan tenaga boleh baharu dan mengukuhkan sistem ekonomi kitaran bagi meminimumkan sisa dan pencemaran.

Maklumat berkaitan RS-2 boleh dimuat turun melalui pautan ini atau ini.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.