SHAH ALAM, 7 OGOS: Prosiding pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual berlangsung di Mahkamah Sesyen di sini pagi ini berkemungkinan diadakan di Institut Jantung Negara (IJN).
Ismail Sabri akan didakwa berkaitan perisytiharan harta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Perkara itu disahkan oleh peguamnya Ragunath Kesavan ketika dihubungi media sebentar tadi, lapor Berita Harian.
"Ya beliau sekarang di IJN. Timbalan Pendakwa Raya akan memohon pengakuan direkodkan di sana," katanya.
Pihak-pihak bagaimanapun akan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terlebih dahulu bagi mendapatkan permohonan bagi pendakwaan di IJN.
Sebelum ini, Ismail Sabri dipanggil beberapa kali bagi sesi rakaman percakapan mengenai perisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM.
SPRM turut merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing serta menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta, berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap beliau.
Rampasan dilakukan semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan 'rumah selamat' hasil siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.






