Ismail Sabri mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta RM14.7 juta

27 Ogos 2026, 2:24 AM
Ismail Sabri mengaku tidak bersalah gagal isytihar harta RM14.7 juta

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan tidak mengisytiharkan harta termasuk wang tunai RM14.7 juta dan jutaan wang tunai pelbagai mata wang asing serta lima ketul jongkong emas, tahun lepas.

Ismail Sabri, 66, yang juga Ahli Parlimen Bera mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut pertuduhan, Ismail Sabri didakwa dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 [Akta 694] bertarikh 7 Jan 2025.

Notis itu telah dihantar kepada Ismail Sabri oleh seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 10 Jan 2025, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta seperti yang dinyatakan.

Harta itu melibatkan wang tunai RM14,772,150, SGD6,132,350, USD1,461,400, CHF3,000,000, EUR12,164,150, JPY363,000,000, GBP50,250, NZD44,600, AED34,750,000 dan AUD352,850 serta lima ketul jongkong emas Petak Suisse Fine Gold seberat 1 kilogram setiap satu selain seketul jongkong perak Petak Suisse Fine Silver seberat 100 gram dan sekeping syiling emas 999 Fine Gold seberat 5 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat SPRM, No 2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 7 Feb 2025.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM100,000, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan manakala Ismail Sabri diwakili peguam Datuk Amer Hamzah Arshad.

Bekas perdana menteri itu sepatutnya didakwa di mahkamah pada 7 Ogos, namun prosiding ditangguhkan ke hari ini selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

Suzana menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan hari ini selepas Amer Hamzah memohon penangguhan berikutan Ismail Sabri mengalami kemungkinan degupan jantung tidak sekata (possible arrhythmia) dan dijadualkan menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker procedure).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.