Pindaan RUU kukuhkan institusi Mahkamah Syariah Selangor

3 Ogos 2026, 8:34 AM
Pindaan RUU kukuhkan institusi Mahkamah Syariah Selangor

SHAH ALAM, 3 OGOS: Pembentangan pindaan usul Rang Undang Undang (RUU) berkaitan agama negeri dan penubuhan Mahkamah Syariah menunjukkan komitmen negeri dalam memperkukuhkan institusi mahkamah melalui perundangan yang lebih tersusun.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata dengan adanya enakmen khusus, pentadbiran Mahkamah Syariah dapat disusun bawah kerangka perundangan lebih sistematik sekali gus memudahkan fungsi pelaksanaan dan pentadbirannya.

“Sesebuah institusi yang mempunyai peranan penting dalam sistem keadilan memerlukan asas perundangan yang mampu menjadi rujukan kepada pentadbiran serta pelaksanaan tanggungjawabnya.

“Justeru kewujudan RUU Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2026 merupakan langkah ke arah memperkukuhkan lagi institusi Mahkamah Syariah bagi memenuhi keperluan dan perkembangan institusi tersebut,” katanya membahaskan usul berkenaan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas lanjut, Azmizam berkata mahkamah hanya dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan apabila bidang kuasanya diperuntukkan secara jelas melalui undang-undang.

“Oleh itu, penjelasan mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah dalam RUU ini merupakan langkah penting bagi memastikan setiap fungsi kehakiman dilaksanakan mengikut had dan kuasa ditetapkan undang-undang.

“Penetapan bidang kuasa yang jelas akan membantu mengukuhkan kelancaran pentadbiran keadilan. Apabila sempadan bidang kuasa diperuntukkan dengan nyata, setiap prosiding dapat dikendalikan lebih teratur, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap proses kehakiman yang dilaksanakan,” katanya.

Terdahulu EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata usul berkenaan bukan suatu dasar baharu sebaliknya merupakan pengiktirafan terhadap pegangan Islam, yang menjadi asas pentadbiran agama Islam di negeri ini sejak sekian lama.

Menurutnya pindaan juga selaras Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keputusan Mesyuarat Majlis Raja-Raja, keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia dan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah diwartakan.

“Selain itu, pindaan ini merupakan kesinambungan kepada pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 yang telah diwartakan pada 2025 bagi memperkukuhkan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sebagai asas pentadbiran agama Islam di Selangor,” katanya.

Kategoriadn

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.