SHAH ALAM, 6 OGOS: Tiga anggota polis maut akibat renjatan elektrik selepas galah besi yang digunakan untuk menjolok buah kelapa dipercayai terkena kabel elektrik di Jalan Weston, Kampung Weston dekat Beaufort, Sabah petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, dua anggota yang berada berhampiran dipercayai cuba menyelamatkan rakan mereka, namun turut terkena renjatan sebelum ketiga-tiganya rebah.
Mangsa dikenal pasti sebagai Koperal Chiu Teck Siong, 40; Koperal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, 29, dan Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee, 26.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga anggota terbabit pergi mengambil buah kelapa sebelum berlaku kejadian berkenaan.
"Ketika menggunakan galah besi yang panjang, alat itu dipercayai hilang keseimbangan lalu terkena kabel elektrik.
"Dua lagi anggota cuba membantu rakannya, namun turut terkena renjatan elektrik," katanya seperti dilapor BH.
Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat mereka dibawa ke Hospital Beaufort untuk tindakan lanjut.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, manakala bedah siasat akan dijalankan sebelum mayat diserahkan kepada waris.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan pada jam 5.56 petang sebelum sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dikerahkan ke lokasi.
Bekalan elektrik di kawasan kejadian kemudian diputuskan oleh Sabah Electricity sebelum pasukan bomba bersama polis mengangkat mangsa dan memastikan lokasi berada dalam keadaan selamat.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.45 malam.







