ad
AGENDA

Nurul Izzah tumpu erat hubungan akar umbi, anjur program berimpak tinggi

15 Mei 2025, 1:05 AM
Nurul Izzah tumpu erat hubungan akar umbi, anjur program berimpak tinggi

SHAH ALAM, 15 MEI: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Nurul Izzah Anwar mahu menumpukan usaha mengeratkan hubungan akar umbi khususnya golongan wanita dan anak muda.

Beliau berkata keutaman dirinya ketika ini ialah untuk bertemu perwakilan dan mendengar suara ahli dalam semua peringkat sekali gus memperkukuhkan hala tuju parti.

“Kita nak kurangkan ketengangan kerana keutamaan untuk menyantuni perwakilan melalui anjuran program berimpak tinggi bersama wanita dan anak muda

“Saya tidak mahu menumpukan ‘politicking’, hanya ingin mendengar suara akar umbi di semua peringkat parti,” katanya pada sidang media selepas Program Temu Rapat Akar Umbi peringkat Selangor di Dewan Raja Muda di sini, malam tadi.

Nurul Izzah menambah program yang melibatkan wanita dan anak muda merupakan sebahagian daripada agenda utama beliau dalam memastikan suara akar umbi terus diberi perhatian.

“Macam saya ada program bersama wanita, ‘Wanita Mendunia’, dan juga program dengan anak muda. Tak mahulah kita tertumpu (kepada debat)?

“Tumpuan seharusnya diberikan kepada penglibatan menyeluruh bersama bahagian-bahagian dalam parti, bukannya perkara yang boleh menimbulkan perpecahan,” ujarnya lagi.

Pemilihan parti pada 23 Mei ini bermula jam 8 pagi hingga 5 petang menerusi dua kaedah iaitu pengundian fizikal oleh perwakilan Kongres Pusat, Kongres AMK Pusat dan Wanita Pusat, masing-masing di Berjaya Waterfront Hotel dan Danga Bay Convention Centre, Johor Bahru.

Bagi Sabah dan Sarawak, pengundian fizikal dijalankan di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang dan Penview Convention Centre, Kuching.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.