SHAH ALAM, 6 OGOS: Pengamal perubatan alternatif ditahan polis selepas disyaki mencabul pelanggan wanitanya dalam kejadian yang dilaporkan berlaku bulan lalu.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan 27 Julai lalu di sekitar Senawang bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, sehingga kini polis menerima empat laporan berkaitan kes berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan dengan merakam percakapan pengadu dan saksi selain memperoleh bahan bukti yang berkaitan.
"Bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban telah menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Mohd Nasharudin turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.
Sebelum ini, pempengaruh Caprice memuat naik satu video yang memaparkan perkongsian beberapa individu yang mendakwa dicabul oleh pengamal perubatan alternatif berkenaan ketika mendapatkan rawatan.







