SHAH ALAM, 23 JULAI: Mangsa kes penculikan membabitkan wang tebusan RM7 juta yang diselamatkan di Shah Alam, Selangor Sabtu lalu kini ditahan 60 hari bagi membantu siasatan berkaitan penglibatannya dalam sindiket pengedaran dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 44 tahun itu ditahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (LLPK).
Menurut beliau, tindakan itu diambil sementara siasatan lanjut dijalankan berhubung kaitan lelaki terbabit dengan aktiviti pengedaran dadah.
"Dia akan ditahan mengikut LLPK selama 60 hari sementara siasatan lanjut dijalankan berhubung kaitannya dengan aktiviti pengedaran dadah," katanya pada sidang media di sini hari ini, lapor Harian Metro.
Hussein berkata, siasatan kini meneliti beberapa aspek termasuk pergerakan lelaki terbabit sebelum kejadian, individu yang mempunyai kaitan dengannya serta sumber pendapatan dan aset miliknya.
Katanya, penelitian itu bertujuan mengenal pasti sejauh mana dakwaan pembabitan lelaki berkenaan dalam kegiatan pengedaran dadah.
Semalam, media melaporkan mangsa kes penculikan itu ditahan mengikut LLPK 1985 selepas siasatan menemukan elemen pengedaran dadah dalam kejadian berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, tindakan itu diambil oleh JSJN Bukit Aman susulan perkembangan siasatan yang dijalankan.
Dalam perkembangan sama, polis turut menahan dua lagi lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an, termasuk seorang bekas anggota polis yang dipecat pada 2023 kerana kes dadah, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes penculikan itu.
Sebelum ini, media melaporkan lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia antara 30 hingga 46 tahun diberkas dalam tempoh kurang 48 jam selepas disyaki menculik seorang lelaki dan menuntut wang tebusan RM7 juta bagi membebaskan mangsa.








