Tapak Kapal Korek Sri Banting bakal jadi taman rekreasi dan tarikan pelancongan

5 Ogos 2026, 4:06 AM
Tapak Kapal Korek Sri Banting bakal jadi taman rekreasi dan tarikan pelancongan

SHAH ALAM, 5 OGOS: Tapak Kapal Korek Sri Banting di Pekan Dengkil dicadang dibangunkan sebagai taman rekreasi awam dan destinasi pelancongan baharu bagi memelihara nilai sejarah serta warisan kapal berkenaan.

Kerajaan Negeri memaklumkan cadangan itu dibuat selepas Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan kerja konservasi Kapal Korek Sri Banting tidak diteruskan berikutan penilaian semula terhadap aspek teknikal, kos pelaksanaan dan kemampanan projek.

EXCO Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata, meskipun kerja konservasi tidak diteruskan, Kapal Korek Sri Banting akan dikekalkan sebagai aset Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kerana mempunyai nilai sejarah dan warisan yang tinggi.

“Bagi merealisasikan cadangan itu, pembangunan tapak berkenaan akan dilaksana melalui kerjasama strategik antara MPSepang, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) selaku pemilik tanah dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

“Dalam pembangunan itu, Kapal Korek Sri Banting akan dikekalkan sebagai monumen di lokasi asal (in-situ) yang menjadi elemen utama kawasan berkenaan,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Dengkil Datuk Seri Jamil Salleh.

Tambahnya, konsep pembangunan turut menggabungkan elemen pemuliharaan warisan, rekreasi, pendidikan dan pelancongan bagi mewujudkan tarikan baharu kepada pengunjung serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor bercadang mahu menjadikan kapal korek biji timah antara terbesar di dunia itu sebagai muzium bersejarah sekali gus menjadikannya tarikan baharu pelancongan.

Terletak di Dengkil, kapal korek dengan berat melebihi 6,000 tan itu dibeli Kerajaan Negeri melalui MPS dengan kos RM10 juta pada 2023.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.