SHAH ALAM, 13 JULAI: Worldwide Entech Sdn Bhd diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai syarikat pertama negara yang menukar tapak pelupusan sanitari kepada taman rekreasi awam.
Kejayaan anak syarikat milik penuh Worldwide Holdings Berhad (WHB) itu sekali gus mencatat sejarah baharu negara dengan sijil pengiktirafan disampaikan kepada Pengarah Eksekutif Worldwide Entech, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Norazlina menerusi kenyataan berkata bekas tapak pelupusan seluas 100 ekar di Puchong yang sebelum ini menerima sisa pepejal, kini berubah wajah menjadi kawasan hijau dilengkapi kemudahan rekreasi termasuk laluan pejalan kaki dan ruang landskap terbuka.
“Pengiktirafan ini membuktikan usaha berterusan Worldwide Entech dalam mendorong kelestarian alam dan inovasi dalam pengurusan sisa.
“Pembangunan semula tapak tersebut dijalankan mengikut piawaian antarabangsa bagi pengurusan pasca tapak pelupusan.
“Kami percaya, tanah yang dahulunya menanggung beban sisa boleh diangkat menjadi nilai baharu untuk masyarakat,” katanya.
Menurut Norazlina, tapak yang sama turut mencipta rekod pada 1995 sebagai tapak pelupusan sanitari pertama di Malaysia, selain menjadi projek awal penjanaan tenaga elektrik daripada gas metana tapak pelupusan pada 2004.
“Worldwide Entech kini turut mengorak langkah ke hadapan dengan pelaksanaan tiga projek sisa kepada tenaga (WTE) di Selangor, sebagai sebahagian daripada pelan strategik memperkukuh pengurusan sisa dan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.