Reformasi perkhidmatan awam menerusi Dasar Hari Bekerja Hibrid 

5 Ogos 2026, 3:26 AM
Reformasi perkhidmatan awam menerusi Dasar Hari Bekerja Hibrid 

Langkah kerajaan melaksana Dasar Hari Bekerja Hibrid (HBH) yang membolehkan penjawat awam bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari Bekerja Dari Rumah (BDR) atau di lokasi alternatif bermula 1 Ogos 2026 merupakan satu tindakan berani yang mendahului zaman. 

Inisiatif yang menyaksikan norma kerja tradisional lima hari seminggu di pejabat kini beralih kepada gabungan kehadiran fizikal dan tugasan di lokasi alternatif ini bukan sekadar perubahan jadual tugas, sebaliknya satu perubahan dalam agenda reformasi perkhidmatan awam negara.

Pelaksanaan dasar ini harus dilihat sebagai satu pengiktirafan tertinggi terhadap kematangan seluruh penjawat awam di Malaysia.

Selepas negara menghadapi krisis global sejak kebelakangan ini, sudah tiba masanya ekosistem pentadbiran awam mengorak langkah melangkaui pemikiran konservatif iaitu pemikiran yang mengukur produktiviti dan integriti pekerja menerusi kehadiran fizikal di pejabat semata-mata.

Secara keseluruhannya, dasar ini telah membawa dimensi baharu dari segi kesejahteraan warga kerja. Fleksibiliti dua hari BDR berupaya meredakan sedikit kelelahan logistik, kekangan waktu, serta tekanan kos sara hidup yang sering berpunca daripada kesesakan lalu lintas saban hari, terutamanya bagi penjawat awam di kawasan bandar. 

Apabila emosi dan kesejahteraan mental modal insan terjaga, kadar produktiviti serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat secara rasionalnya akan meningkat secara semula jadi.

Selain itu, dasar ini memaksa jentera kerajaan beralih secara menyeluruh kepada budaya kerja berteraskan hasil (outcome-based).

Penilaian prestasi tidak lagi terikat pada waktu fizikal, sebaliknya diukur menerusi pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI), ketepatan masa penyelesaian tugasan, serta kecekapan penyampaian berasaskan teknologi digital. Ini secara tidak langsung memacu transformasi digital perkhidmatan awam ke tahap yang lebih terkehadapan.

Namun, di sebalik kebebasan dan fleksibiliti yang diberikan, ia hadir bersama kebertanggungjawaban yang amat besar. Kejayaan Dasar Hari Bekerja Hibrid ini bergantung sepenuhnya kepada integriti, disiplin dan akauntabiliti setiap penjawat awam. 

Kemudahan ini sama sekali tidak boleh dicemari oleh tindakan segelintir pihak yang culas atau mengambil kesempatan dalam menjalankan tugas sebagai seorang penjawat awam.

Justeru, seluruh barisan penjawat awam sama ada di peringkat pengurusan mahupun kumpulan pelaksana, perlu membuktikan bahawa cara serta kaedah kerja moden ini berupaya melahirkan tenaga kerja yang lebih komited dan berprestasi tinggi. 

Pada masa sama, pihak kepimpinan di setiap organisasi dan agensi wajar menguruskan garis panduan HBH ini secara adil, saksama dan berhemah demi mengekalkan keharmonian serta kecekapan organisasi.

Reformasi perkhidmatan awam bukan lagi satu wacana, tetapi satu keperluan era baharu. Dasar Hari Bekerja Hibrid ini adalah tapak kukuh ke arah membina penyampaian perkhidmatan awam yang lebih moden, dinamik, dan berteraskan kebajikan modal insan demi kemajuan negara.

Barudin Bin Baharin adalah Presiden Kesatuan Kakitangan Am Universiti Kebangsaan Malaysia

Kategoripendapat

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.