LUMUT, 4 OGOS: Pengurusan pokok di sepanjang jalan Persekutuan di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), namun Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak konsesi penyelenggaraan bersedia bekerjasama dengan PBT demi meningkatkan aspek keselamatan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata perkara itu termaktub di bawah Seksyen 101(b) Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan kuasa kepada PBT menanam, memangkas atau membuang pokok di kawasan pentadbiran mereka, termasuk pokok di rizab jalan Persekutuan dalam kawasan PBT.
“Saya bukan hendak lari daripada tanggungjawab tetapi kita merujuk kepada keputusan mahkamah (surat permohonan pandangan perundangan terhadap kawalan penanaman pokok di rizab Jalan Persekutuan) dan bukan tanggungjawab JKR menanam pokok, kita hanya ada (bertanggungjawab) perabot jalan, papan tanda jalan sahaja di tepi jalan bukan pokok.
“Itu yang saya nak perjelaskan, perjanjian konsesi kita tidak ada menebang pokok kecuali pokok itu sudah jatuh (tumbang) baru boleh bersihkan, itu adalah syarat dalam konsesi,” katanya ketika ditemui pada sesi Lawatan Kerja ke Pejabat Jurutera Daerah Manjung di sini hari ini.
Ahmad berkata demikian bagi mengulas laporan media kenyataan Ahli Parlimen Bentong Young Syefura Othman yang menggesa JKR dan syarikat konsesi penyelenggaraan memperkukuh kerjasama dengan pakar bertauliah untuk melaksanakan penilaian teknikal berkala terhadap pokok matang dan cerun di sepanjang jalan Persekutuan susulan insiden pokok tumbang yang meragut nyawa empat sekeluarga di Laluan FT68 Jalan Lama Bentong-Kuala Lumpur, Ahad lepas.
Sementara itu, dalam lawatan kerja berkenaan beliau telah mendapatkan taklimat berkaitan struktur organisasi, fungsi bahagian serta perkembangan projek infrastruktur yang sedang dan akan dilaksanakan di daerah Manjung.
Beliau menegaskan kepentingan pemantauan berterusan dan kerjasama erat antara Kementerian Kerja Raya (KKR), JKR Negeri Perak dan JKR Daerah bagi memastikan setiap projek serta kerja penyelenggaraan dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual dan peruntukan yang ditetapkan.
“Lawatan ini mencerminkan komitmen KKR untuk memastikan penyampaian perkhidmatan teknikal dan pelaksanaan pembangunan infrastruktur di peringkat daerah terus diperkasakan, sekali gus memberikan manfaat yang optimum kepada rakyat.
“KKR akan terus memperkukuh pemantauan dan penyelarasan bersama JKR di semua peringkat bagi memastikan infrastruktur awam negara sentiasa berada pada tahap terbaik, selamat dan selesa untuk digunakan rakyat,” katanya.






