SHAH ALAM, 4 OGOS: Tiga lelaki ditahan polis hari ini bagi membantu siasatan kes pecah cermin lima kenderaan di kawasan tempat letak kereta di Desa Mentari, Petaling Jaya kelmarin.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, semua suspek itu ditahan sekitar daerah ini.
"Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat di Mahkamah Petaling Jaya pagi ini," katanya dalam kenyataan, lapor Harian Metro.
Semalam dilaporkan, polis mengesan sekumpulan lelaki yang dipercayai memecahkan cermin lima kenderaan di kawasan tempat letak kereta terbabit.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M Hussin Sollehuddin Zolkifly berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5 petang.







