WHO desak Israel hentikan serangan ke atas kemudahan kesihatan Gaza

4 Ogos 2026, 1:46 AM
WHO desak Israel hentikan serangan ke atas kemudahan kesihatan Gaza

ISTANBUL, 4 OGOS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin menggesa serangan Israel terhadap kemudahan perubatan di Gaza dihentikan serta-merta selepas serangan yang memusnahkan sebuah tempat penyimpanan penting dan bekalan asas.

“WHO menggesa supaya perkhidmatan kesihatan dilindungi. Kemudahan kesihatan tidak boleh sesekali diserang atau dijadikan kawasan ketenteraan,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan, menurut Anadolu Ajansi.

Pada hujung minggu lalu, serangan Israel menyasarkan sebuah tempat penyimpanan bersebelahan Hospital Syuhada Al-Aqsa, menyebabkan bangunan utama rosak serta memusnahkan peralatan perubatan, termasuk barangan yang baru dihantar oleh WHO.

Ghebreyesus berkata meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa, keadaan keselamatan di wilayah itu kekal tidak menentu ketika penduduk bergelut dengan masalah kekurangan zat makanan, penyakit dan kekurangan rawatan perubatan.

Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu memberi amaran bahawa kemusnahan gudang ubat di Hospital Syuhada Al-Aqsa menyebabkan sistem kesihatan di wilayah itu berada pada tahap kritikal.

Sejak Oktober 2023, WHO merekodkan hampir 1,000 serangan terhadap sektor kesihatan di Gaza yang mengakibatkan lebih 1,000 orang terbunuh dan 1,700 lagi cedera.

Israel membunuh lebih 73,000 orang dan mencederakan lebih 174,000 yang lain di Gaza sejak Oktober 2023.

Meskipun perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa sejak 10 Okt 2025, Israel terus melancarkan serangan di seluruh wilayah itu, membunuh 1,250 rakyat Palestin dan mencederakan 4,110 yang lain, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.

Kategoriglobal

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.