SEPANG, 3 OGOS: Segala prosedur pemeriksaan keselamatan melibatkan juruterbang dan kru penerbangan di semua lapangan terbang di negara ini akan ditambah baik, kata Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Beliau berkata AKPS bersama semua agensi memandang serius insiden seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah baru-baru ini.
Justeru, katanya, satu mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT) Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan bersama AKPS, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Malaysia Aviation Group (MAG) diadakan hari ini untuk meneliti usaha penambahbaikan prosedur sedia ada di lapangan terbang.
“MAG turut hadir (dalam mesyuarat) dan mereka mengambil perkara ini dengan amat serius, dan segala prosedur sedia ada akan ditambahbaik dalam masa terdekat.
“Kami juga dimaklumkan semua mereka ataupun staf akan disaring lebih lanjut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Pada 31 Julai lepas, media melaporkan seorang juruterbang warga Malaysia ditahan di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah, termasuk 25 kilogram ekstasi bernilai kira-kira Rp60 bilion (Rp1 juta = RM225.20), ke negara itu.
Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia Djaka Budi Utama berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, pada 29 Julai selepas menerbangkan pesawat penumpang antarabangsa dari Kuala Lumpur, dengan dadah berkenaan didakwa ditemukan disembunyikan di dalam bagasinya.
Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata juruterbang yang ditahan itu telah melepasi semua prosedur saringan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas pada 28 Julai lepas.
“Dalam saringan yang dilakukan seperti mana biasa menggunakan scanner (mesin pengimbas), perkara ataupun beg yang dibawa (suspek) tidak memberi apa jua imej yang mencurigakan.
“Justeru itu, ia melepasi saringan biasa yang dilaksanakan oleh pihak keselamatan KLIA. Kita masih lagi menunggu maklum balas daripada PDRM untuk kita buat kajian bagaimana beliau dapat melepasi saringan tersebut,” katanya.
Beliau berkata secara kebiasaannya, individu yang ingin membawa barang terlarang keluar mempunyai modus operandi tertentu untuk mengelak daripada dikesan melalui mesin pengimbas atau pemeriksaan tertentu.
“Orang nak bawa barang-barang terlarang ni mungkin dia menyembunyikannya, mungkin cara dia membaluti barang-barang tersebut yang menyebabkan mesin scanner itu tidak dapat mengesan barang tersebut.
“Modus operandi dia menyaluti ataupun menyembunyikan methamphetamine itu adalah sesuatu yang kita sedang tunggu daripada pihak PDRM. Saya difahamkan PDRM sedang dalam usaha menghantar pegawai untuk bekerjasama dengan pihak narkotik Indonesia,” katanya.
Mengulas dakwaan wujud kelemahan dalam saringan terhadap kru penerbangan, Mohd Shuhaily menegaskan juruterbang dan kru kabin tetap melalui proses pemeriksaan yang sama seperti penumpang lain.
Beliau menegaskan yang AKPS tidak akan berkompromi sekiranya siasatan PDRM menemui sebarang unsur salah laku membabitkan pegawainya.
“Saya akan ambil lead daripada pihak PDRM (untuk siasatan dalaman). Jika PDRM melihat ada yang tak kena dalam jabatan saya, saya fikir semua orang sedia maklum dengan cara saya bekerja. Saya akan melakukan segala usaha yang mungkin untuk menanganinya,” katanya.
Mohd Shuhaily turut menyeru orang ramai supaya memberi sedikit ruang kepada penguat kuasa menjalankan pemeriksaan keselamatan dengan lebih teliti di semua pintu masuk negara.
“Di sinilah sikap kita perlu sedikit sabar dalam apa jua proses keluar ataupun masuk negara.Ada pihak yang bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan itu selamat.
“Dalam memastikan perjalanan itu selamat, maka berilah sedikit masa kepada pihak penguatkuasa untuk melaksanakan tugasnya,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: AKPS, pemeriksaan, pintu masuk negara, KLIA, tugas, juruterbang






