Empat maut, seorang cedera pikap dihempap pokok

3 Ogos 2026, 8:36 AM
Empat maut, seorang cedera pikap dihempap pokok
Empat maut, seorang cedera pikap dihempap pokok

SHAH ALAM, 3 OGOS: Empat maut manakala seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun terselamat selepas kenderaan pacuan empat roda Ford Raptor yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok di Jalan Lama Kuala Lumpur menghala ke pintu gerbang Janda Baik di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu, pemandu lelaki berusia 35 tahun, seorang wanita berusia 36 tahun yang duduk di tempat penumpang hadapan bersama seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipangkunya serta seorang lelaki berusia 40 tahun di tempat duduk belakang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, lapor Utusan Malaysia.

Seorang lagi mangsa, kanak-kanak lelaki berusia lima tahun yang dipercayai kembar kepada mangsa kanak-kanak yang maut, terselamat namun mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd. Kahar berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu daripada orang awam kira-kira pukul 12.30 tengah hari sebelum sepasukan anggota polis bersama agensi penyelamat bergegas ke lokasi.

“Siasatan awal mendapati sebatang pokok besar tumbang menghempap kenderaan sehingga menyebabkan empat daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian. Seorang kanak-kanak lelaki berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Bentong.

“Siasatan awal juga mendapati dua kanak-kanak lelaki yang berada di dalam kenderaan itu dipercayai pasangan kembar berdasarkan dokumen pengenalan yang ditemukan di lokasi kejadian,” katanya.

Beliau berkata kesemua mayat dibawa ke Hospital Temerloh untuk bedah siasat.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan termasuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan pokok berkenaan tumbang.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.