PUTRAJAYA, 3 OGOS: Jabatan Imigresen (JIM) menahan lapan warga Myanmar, termasuk seorang wanita yang dipercayai bertindak sebagai ejen haram dalam operasi khas di Bandar Mahkota Cheras, Selangor Sabtu lalu bagi membongkar kegiatan menawarkan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata operasi bermula 3.50 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya, susulan operasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 28 Julai menerusi Ops Crack.
"Siasatan awal mendapati wanita Myanmar yang ditahan mempunyai kaitan dengan seorang lelaki warga Myanmar yang dipercayai dalang utama sindiket dan telah ditahan SPRM dalam Ops Crack bersama JIM.
"Turut ditahan seorang lelaki dan enam wanita warga Myanmar yang dipercayai sedang menunggu untuk dibekalkan kepada majikan, menjadikan keseluruhan tangkapan sebanyak lapan individu berusia antara 29 hingga 56 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata semakan mendapati suspek wanita terbabit memiliki PLKS sektor perkhidmatan, empat wanita pula tinggal lebih masa, manakala seorang lelaki dan dua wanita lagi tidak memiliki sebarang pas atau dokumen perjalanan yang sah untuk berada di negara ini.
"Pasukan operasi turut menyita 16 pasport Myanmar, salinan PLKS yang dipercayai palsu, dokumen berkaitan pembekalan pekerja serta sebuah kereta Toyota Yaris yang dipercayai digunakan sindiket," katanya.
Beliau berkata sindiket yang dipercayai beroperasi sejak awal tahun ini menawarkan perkhidmatan mendapatkan PLKS yang disyaki dikeluarkan secara tidak sah melalui Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) yang telah diceroboh, selain membekalkan pekerja asing kepada majikan di Lembah Klang dengan mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap pekerja.
Katanya, kesemua suspek ditahan mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.
Zakaria berkata pihaknya akan meneruskan siasatan bagi mengenal pasti rangkaian sindiket dan membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
JIM sebelum ini dilaporkan akan membatalkan semua 1,306 PLKS yang diluluskan secara tidak sah susulan penggodaman MyIMMs.
Tindakan itu susulan penahanan 12 individu termasuk enam pegawai JIM kerana disyaki bersubahat menggodam MyIMMs bagi mendapatkan kelulusan PLKS secara tidak sah.







