SHAH ALAM, 2 OGOS: Anggota bomba menyelamatkan empat individu yang terperangkap akibat kejadian kepala air ketika beriadah di Kampung Orang Asli Pertak, Kuala Kubu Bharu, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 4.19 petang.
Beliau berkata, sepasukan empat anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi menyelamat.
"Operasi turut dibantu lima anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Batang Kali.
"Laporan awal memaklumkan seorang lelaki dewasa terperangkap ketika melakukan aktiviti mandi-manda di kawasan air terjun sebelum anggota bomba menjalankan kerja menyelamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, maklumat terkini mendapati jumlah sebenar mangsa yang terbabit ialah empat orang yang terperangkap di dua lokasi berasingan.
Katanya, anggota bomba bersama anggota PBS menggunakan teknik river crossing dengan bantuan tali penyelamat bagi membawa semua mangsa keluar dengan selamat.
"Kesemua mangsa berjaya diselamatkan dalam keadaan selamat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing untuk tindakan lanjut," katanya.







