Tourism Selangor rancang tawar pakej diskaun sempena F1 GP Bahrain di Sepang

2 Ogos 2026, 6:00 AM
Tourism Selangor rancang tawar pakej diskaun sempena F1 GP Bahrain di Sepang
Tourism Selangor rancang tawar pakej diskaun sempena F1 GP Bahrain di Sepang

SHAH ALAM, 2 OGOS: Tourism Selangor merancang menawarkan pakej pelancongan berasaskan konsep "diskaun dengan tiket F1" sempena penganjuran Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini bagi merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata, kejohanan yang dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 Oktober itu dijangka menarik kehadiran peminat F1 dari seluruh dunia, selain pasukan dan penaja yang terlibat.

Menurutnya, perlumbaan F1 Singapura pula akan berlangsung seminggu kemudian iaitu dari 9 hingga 11 Oktober, sekali gus membuka peluang untuk menggalakkan pelancong memanjangkan tempoh penginapan mereka di Selangor.

"Kami akan menawarkan pakej pelancongan dengan tema 'datang awal ke Malaysia sebelum perlumbaan' atau 'terus tinggal di Malaysia selepas perlumbaan sambil menunggu perlumbaan seterusnya' bagi menarik pelancong berbelanja di sektor runcit, makanan dan minuman, pengangkutan serta destinasi pelancongan," katanya dalam temu bual bersama Media Selangor di sini baru-baru ini.

Yee Ling berkata, persiapan penganjuran F1 Bahrain Grand Prix masih di peringkat awal dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru sahaja mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi kerajaan berkaitan bagi membincangkan butiran penganjuran.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto Tourism Selangor

"Kejohanan ini masih diterajui oleh pihak Bahrain dan banyak butiran belum dimuktamadkan lagi, termasuk jualan tiket dan pengaturan penaja.

"Oleh itu, kami perlu menunggu maklumat lanjut, termasuk sama ada ruang pameran penaja akan dibuka.

"Sekiranya ada peluang, kami akan mengumpulkan peniaga tempatan untuk bersama-sama mempromosikan pelancongan Selangor kepada penonton dan pelancong," katanya.

Hotel sekitar SIC hampir penuh

Mengulas lanjut, Yee Ling berkata Tourism Selangor sedang berbincang dengan peniaga tempatan bagi merealisasikan pakej "diskaun dengan tiket F1", yang dijangka memberi manfaat kepada pelancong dan sektor perniagaan.

"Pada peringkat ini, kami menjadikan 'diskaun dengan tiket F1' sebagai teras kempen promosi. Kami akan terus berbincang dengan peniaga mengenai butiran kerjasama dan setakat ini majoriti peniaga memberi respons positif.

"Melalui pakej promosi ini, bukan sahaja pelancong dapat menikmati pelbagai perkhidmatan pada harga lebih rendah, malah peniaga dari pelbagai sektor turut mendapat manfaat daripada kejohanan F1 ini," katanya.

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bakal menganjurkan Formula 1 Grand Prix Bahrain Gulf Air pada 2 hingga 6 Oktober ini.

Dalam pada itu, beliau berkata hotel dalam lingkungan 15 kilometer dari SIC, termasuk hotel berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), telah penuh ditempah bagi tempoh kejohanan berlangsung dan dipercayai kebanyakannya ditempah oleh pasukan serta penaja.

Katanya, hotel di luar radius berkenaan termasuk di sekitar IOI City Mall juga hampir penuh.

"Walaupun tiket belum lagi dijual, tempahan hotel di sekitar sudah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Peminat F1 mahupun peniaga menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap kejohanan ini dan kami percaya kesan ekonomi yang bakal dihasilkan adalah amat besar," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.