PRN Negeri Sembilan: 28.11 peratus keluar mengundi setakat 11 pagi

1 Ogos 2026, 3:59 AM
PRN Negeri Sembilan: 28.11 peratus keluar mengundi setakat 11 pagi

SEREMBAN, 1 OGOS: Kadar keluar mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 mencecah 28.11 peratus setakat 11 pagi ini, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun.

Beliau berkata pihaknya mendapati kadar keluar mengundi pada sebelah pagi agak menggalakkan berdasarkan tinjauan di beberapa pusat mengundi di sekitar Seremban dengan golongan warga emas lebih ramai keluar mengundi pada sebelah pagi ini berbanding pengundi muda.

“Kita harap orang muda cepat-cepat bangun dan keluar mengundi kerana kita menjangkakan pada petang ini cuaca tidak berapa elok.

“Mengikut ramalan kaji cuaca, kawasan yang cuacanya elok sehingga petang cuma di Port Dickson manakala di daerah lain kita menjangkakan akan berlaku hujan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, di sini, hari ini.

Beliau berkata SPR menjangkakan sasaran kadar keluar mengundi antara 72 hingga 75 peratus dapat dicapai berdasarkan persaingan sengit antara parti yang bertanding sepanjang tempoh berkempen selama 14 hari bermula 18 Julai lepas.

Terdahulu, sebanyak 8.29 peratus atau 71,106 daripada 859,760 pengundi telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada PRN Negeri Sembilan ke-16, setakat 9 pagi tadi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu mencatatkan peratus keluar mengundi tertinggi setakat ini dengan 10.4 peratus, diikuti DUN Senaling (10.3 peratus) dan DUN Ampangan (9.4 peratus).

DUN Rantau merekodkan peratusan keluar mengundi terendah iaitu sekitar 6.4 peratus.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.