Pilihan raya merupakan tunjang utama dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia. Ia bukan sekadar wadah untuk memilih barisan pentadbiran dan pemerintah, malah menjadi medan pertembungan gagasan, dasar, dan kepimpinan demi menentukan arah tuju masa depan negara.
Walau bagaimanapun, lanskap kempen politik dalam beberapa pilihan raya mutakhir ini menunjukkan kecenderungan yang amat membimbangkan. Perbahasan berstruktur dan berasaskan isu semakin terhakis, digantikan dengan serangan peribadi, penggunaan bahasa kesat, serta penyebaran naratif palsu.
Fenomena ini bukan sahaja merosakkan kualiti demokrasi, malah mencabar tingkat kematangan politik masyarakat secara menyeluruh.
Rencana ini menganalisis secara kritis corak kempen politik semasa, faktor yang mendorong kepada kemerosotan akhlak berpolitik, serta membina kaitan berasaskan sejarah penyebaran maklumat palsu dari era silam hingga era digital hari ini.
Corak kempen politik di Malaysia hari ini mempamerkan dua dimensi yang berbeza dan saling bertentangan. Dimensi pertama ialah kempen berhemah yang memberi penekanan kepada pembentangan manifesto, penerangan dasar yang jelas, perbahasan isu sosioekonomi rakyat, serta penggunaan bahasa yang sopan dan beradab.

Calon dan jentera parti yang mengamalkan pendekatan ini akan turun ke lapangan untuk mengadakan dialog berstruktur dan memberikan ruang kepada pengundi untuk menilai setiap tawaran secara rasional. Pendekatan sebegini amat selari dengan prinsip demokrasi deliberatif yang meletakkan hujah berfakta dan bukti kukuh sebagai asas utama dalam mempengaruhi keputusan pengundi.
Sebaliknya, dimensi kedua mempamerkan corak kempen yang melampau dan merosakkan. Antara ciri mendalam yang kerap kelihatan termasuklah penggunaan kata-kata kesat, maki hamun, serangan peribadi terhadap maruah serta keluarga lawan, dan provokasi berterusan di platform media sosial.
Para penceramah politik sering memanfaatkan pentas ceramah untuk memperlekehkan peribadi lawan ketimbang membahaskan penyelesaian kepada masalah rakyat.
Gelagat tidak sihat ini bukan sahaja menurunkan kualiti perbahasan awam, malah mewujudkan persepsi bahawa arena politik itu kotor dan penuh toksik. Impaknya, ramai pengundi muda dan golongan profesional merasa tawar hati lalu menjarakkan diri daripada terlibat dalam proses demokrasi negara.
Jurang perbezaan antara kedua dimensi ini membuktikan bahawa kerangka undang-undang pilihan raya sedia ada tidak mencukupi jika berdiri dengan sendirinya. Peruntukan seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Kod Etika Pilihan Raya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memang wujud, namun aspek penguatkuasaannya sering kali terdedah kepada pelbagai kekangan.

Perkara yang jauh lebih mendesak pada masa ini ialah pembinaan budaya politik baharu yang meletakkan nilai moral, etika, dan akhlak sebagai ukuran utama dalam menilai wibawa seorang calon pemimpin.
Satu lagi gejala yang semakin membarah dalam arena politik tanah air ialah penciptaan naratif palsu yang direka secara terancang demi menagih simpati dan menjejaskan imej pihak lawan.
Naratif ini kebiasaannya dibentuk menerusi tuduhan tanpa bukti, pemotongan video secara sengaja untuk memutarbalikkan konteks asal, pemalsuan dokumen rasmi, serta penyebaran dakyah yang memanipulasi sentimen sensitif berkaitan agama, bangsa, dan institusi diraja (3R).
Tujuan utamanya tidak lain untuk mencetuskan keresahan, melaga-lagakan masyarakat, dan memecahbelahkan pola pengundian.
Secara amnya, dakyah sedemikian disebarkan menerusi aplikasi media sosial seperti WhatsApp, TikTok, dan Facebook dalam tempoh 24 jam terakhir kempen. Tempoh masa kritikal ini dipilih kerana ia merupakan waktu yang paling sukar untuk pihak yang difitnah membuat pembetulan atau penafian secara meluas sebelum hari pengundian tiba.

Strategi ini bertindak sebagai politik ketakutan dan politik simpati. Calon yang tidak mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang akan cenderung mencipta musuh khayalan supaya pengundi membuat keputusan berasaskan rasa benci terhadap lawan, dan bukannya atas dasar kepercayaan terhadap wawasan calon tersebut.
Kesan jangka panjangnya amat berbahaya kerana ia menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi penting negara, selain memusnahkan syarat utama demokrasi yang sihat iaitu rakyat yang berilmu dan berpengetahuan.
Untuk memahami punca gejala ini secara lebih mendalam, kita boleh merujuk kepada lembaran sejarah awal Islam iaitu sewaktu kemunculan fenomena hadis palsu. Pada abad pertama dan kedua Hijrah, berikutan kewafatan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Islam telah berdepan dengan ujian perpecahan politik dan teologi yang hebat.
Dalam usaha untuk memperkukuh hujah serta pengaruh masing-masing, sesetengah pihak dan aliran telah mengambil jalan mudah dengan mereka-reka kata-kata palsu lalu menisbahkannya secara bohong kepada Baginda SAW.
Motif utama di sebalik pemalsuan hadis pada zaman silam itu mempamerkan garis persamaan yang amat ketara dengan motif penyebaran berita palsu dalam kempen politik hari ini.
Pertama, ia dilakukan demi mendapatkan legitimasi keagamaan dan moral bagi membenarkan sebarang tindakan politik. Kedua, ia bertujuan menjatuhkan imej serta kredibiliti lawan dengan berselindung di sebalik nama atau sosok yang paling dihormati oleh masyarakat.
Ketiga, ia berfungsi sebagai alat untuk mengawal pemikiran dan emosi awam yang mempunyai akses terbatas kepada sumber maklumat asal yang sahih.

Bagi menangani ancaman pemalsuan tersebut, para ulama silam telah berusaha membangunkan satu disiplin ilmu yang amat ketat iaitu ilmu mustalah hadis.
Mereka memformulasi kriteria sanad atau rantaian periwayat, melaksanakan penilaian kritis al-jarh wa al-ta'dil (celaan dan pembelaan terhadap periwayat hadis) terhadap latar belakang dan kredibiliti periwayat, serta menganalisis kandungan teks atau matan hadis secara terperinci.
Usaha berterusan ini dilakukan semata-mata untuk memelihara ketulenan ajaran Islam dan membezakan antara kebenaran dengan pembohongan.
Analogi sejarah ini membawa iktibar yang sangat besar; jika dahulu musuh menggunakan nama suci Baginda SAW untuk menipu, hari ini manipulasi dilakukan atas nama rakyat, agama, dan negara.
Tanpa pembinaan benteng literasi media dan pendidikan politik yang kukuh, masyarakat akan terus mudah terpedaya oleh retorik palsu yang dibungkus rapi.
Terdapat empat faktor utama yang menjadi pendorong kepada kemerosotan akhlak dalam persekitaran kempen politik tanah air hari ini.
Faktor pertama ialah persaingan kuasa yang semakin sengit menerusi sistem pilihan raya berasaskan majoriti mudah (first-past-the-post). Dalam sistem ini, calon tidak berhajat untuk meraih sokongan majoriti mutlak masyarakat; cukuplah sekadar memenangi peratusan undi tertinggi dalam kawasan pertandingan berbilang penjuru.
Keadaan ini mendorong sesetengah jentera politik menggunakan strategi ekstrem untuk memecahkan undi lawan melalui fitnah, adu domba, dan provokasi emosi.
Faktor kedua ialah corak operasi algoritma media sosial moden. Platform digital seperti TikTok, Facebook, dan X cenderung mengutamakan serta menyebarkan kandungan yang mencetuskan kontroversi, kemarahan, dan emosi melampau kerana kandungan sedemikian meraih kadar tontonan serta perkongsian yang tinggi.

Sebaliknya, kandungan berhemah yang membincangkan dasar secara berfakta kerap kali tenggelam dan diabaikan. Akibatnya, para ahli politik terdorong untuk menjadi lebih lantang, sensasi, dan melampau semata-mata mahu kekal relevan dalam liputan garis masa media sosial.
Faktor ketiga ialah jurang dalam pendidikan politik dan literasi media di peringkat persekolahan mahupun pengajian tinggi. Ramai pengundi muda, termasuk kumpulan Undi 18, tidak didedahkan dengan kemahiran menganalisis manifesto secara objektif, cara membezakan antara fakta dengan propaganda, atau etika menguruskan perbezaan pandangan secara beradab.
Ketidakseimbangan ini menyebabkan mereka dengan mudah terpengaruh oleh permainan emosi dan sentimen sempit. Manakala faktor keempat ialah kewujudan budaya bebas daripada hukuman (impunity). Ramai tokoh politik yang mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan tidak berasas tidak dikenakan tindakan tegas yang memadai, menyebabkan perbuatan tersebut terus diulang dan akhirnya dianggap sebagai norma baharu dalam amalan berpolitik.

Impak daripada kempen politik yang tidak berakhlak ini membawa kesan yang sangat buruk terhadap keharmonian negara dan kualiti demokrasi. Dari sudut politik, ia berisiko melahirkan sebuah kerajaan dengan mandat yang rapuh kerana dipilih berasaskan emosi kebencian dan bukannya kepercayaan tulen.
Pentadbiran sebegini akan sentiasa terperangkap dalam krisis keyakinan dan terpaksa menghabiskan tenaga mempertahankan diri daripada serangan politik berbanding menumpukan perhatian kepada pembangunan dasar negara.
Dari sudut sosial, amalan ini meretakkan ikatan kemasyarakatan apabila ahli keluarga berpecah, rakan tauladan bergaduh, dan komuniti saling mencurigai antara satu sama lain. Sentimen agama dan perkauman yang dieksploitasi demi ganjaran politik jangka pendek akan meninggalkan luka mendalam yang memerlukan masa bertahun-tahun untuk dipulihkan.
Dari sudut ekonomi pula, ketidakstabilan politik dan suasana sosial yang toksik akan menjejaskan keyakinan pelabur tempatan mahupun luar negara, yang seterusnya memberi kesan negatif kepada peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi rakyat.

Namun, kesan paling berbahaya adalah terhadap generasi muda yang membesar dengan menyaksikan perlakuan maki hamun dan penipuan di pentas politik dijadikan norma untuk mencapai kejayaan.
Bagi memulihkan keadaan dan mereformasi budaya kempen di Malaysia, beberapa langkah komprehensif perlu diambil secara bersama oleh semua pihak.
Langkah pertama ialah memperketat dan memperkemas penguatkuasaan undang-undang. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mesti bertindak pantas dan tegas terhadap penyebaran berita palsu serta ucapan kebencian, termasuk mengenakan hukuman berat seperti pembatalan kelayakan calon yang melanggar batas etika.
Langkah kedua ialah menyerapkan elemen pendidikan politik dan literasi media secara formal ke dalam sistem kurikulum kebangsaan agar generasi muda dibekalkan dengan kemahiran berfikir secara kritis dan berilmu.
Langkah ketiga memerlukan kepimpinan parti politik untuk berani menetapkan garis merah dari dalam. Setiap parti mesti bersikap tegas dengan menghentikan atau menggantung jentera serta penceramah yang dikesan menggunakan bahasa kesat mahupun fitnah dalam kempen mereka.
Parti yang berani mengambil tindakan berprinsip ini sudah tentu akan meraih kepercayaan dan penghormatan jangka panjang daripada rakyat.
Akhir sekali, langkah keempat bergantung kepada peranan media massa dan masyarakat awam. Pengamal media perlu konsisten mengamalkan kewartawanan yang berkecuali dan menyemak fakta tanpa rasa takut, manakala pengundi sendiri mesti bertanggungjawab dengan tidak menyebarkan sebarang maklumat yang belum dipastikan kesahihannya.

Kesimpulannya, amalan kempen pilihan raya di Malaysia kini berada di persimpangan jalan yang amat kritikal. Kita perlu memilih sama ada mahu melangkah ke hadapan dengan mengambil jalan berhemah yang berpaksikan hujah, ilmu, dan akhlak, atau terus membiarkan diri hanyut dalam kancah caci maki, fitnah, dan manipulasi maklumat.
Sejarah telah membuktikan bahawa pembohongan yang dilakukan atas nama kebenaran pasti akan merosakkan perpaduan dan melemahkan tamadun sesebuah bangsa.
Demokrasi yang matang dan berkualiti tidak akan lahir secara spontan, sebaliknya ia memerlukan kepimpinan yang jujur, media yang telus, serta rakyat yang berfikiran kritis. Masa depan dan kedaulatan politik Malaysia sangat bergantung kepada keberanian kita untuk membuat perubahan mulai hari ini.
Dr. Nik Mohd Zaim Ab Rahim adalah Penolong Pengarah / Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia Kampus Kuala Lumpur.









