ad
AGENDA

Wakil rakyat Kota Damansara atur pertemuan dengan pelbagai agensi, bincang isu setempat

14 Ogos 2023, 1:30 PM
Wakil rakyat Kota Damansara atur pertemuan dengan pelbagai agensi, bincang isu setempat

SHAH ALAM, 14 OGOS: Wakil rakyat Kota Damansara akan mengadakan pertemuan dengan pihak dan agensi berkaitan dalam masa terdekat bagi membincangkan beberapa isu di kawasan itu.

Muhammad Izuan Kasim berkata isu setempat seperti banjir, jalan raya, trafik, pendidikan dan tanah antara yang dikenal pasti sepanjang dua minggu berkempen dalam pilihan raya negeri (PRN).

“Insya-Allah saya akan mula memanggil agensi berkaitan. Saya mahu ketengahkan beberapa isu untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sabtu lalu, Muhammad Izuan, 32, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara pada PRN dengan meraih 34,628 undi.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN Selangor menewaskan pencabar Mohd Radzlan Jalaludin daripada Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 28,934 dan Sivarajan (PSM Baru) dengan 895.

Sementara itu, Muhammad Izuan berjanji tidak akan mensia-siakan mandat warga Kota Damansara dengan melaksanakan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin.

“Kemenangan ini adalah titik mula kepada tanggungjawab lebih besar dan pengundi percaya dengan perancangan yang akan saya bawa untuk Kota Damansara.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan pihak yang membantu. Saya akan pegang amanah ini dengan penuh tunduk serta tawaduk,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.