CYBERJAYA, 31 JULAI: Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) berharap Rancangan Selangor Kedua (RS-2) dapat memperkukuh penyertaan syarikat tempatan dalam industri pengangkutan autonomi yang semakin berkembang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Yong Kai Ping berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa cadangan kepada Kerajaan Negeri bagi memastikan syarikat tempatan mendapat manfaat daripada peluang baharu susulan pembangunan infrastruktur pengangkutan termasuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menurut beliau, sektor pengangkutan akan menjadi antara fokus utama memandangkan pembangunan infrastruktur tersebut dijangka mengubah landskap logistik negeri.
"Fokus kami adalah sektor pengangkutan. Misi negeri kini jelas tertumpu kepada pembangunan ECRL dan projek lain yang berkaitan," katanya kepada media selepas pelancaran Pusat Operasi Jarak Jauh Kenderaan Autonomi pertama Malaysia di Coplace 9, Cyberview hari ini.

Yong berkata SIDEC mahu RS-2 menggalakkan penyertaan lebih besar syarikat tempatan dalam beberapa segmen utama rantaian nilai teknologi autonomi.
Katanya, antara bidang yang diberi tumpuan ialah reka bentuk cip litar bersepadu (IC), integrasi sistem serta pembangunan perisian pemetaan.
Beliau berkata perisian pemetaan termasuk teknologi pemetaan dalaman bangunan berpotensi menjadi industri baharu yang mampu meningkatkan ketepatan sistem autonomi.
"Apa yang ingin kami galakkan ialah penyertaan syarikat tempatan dalam reka bentuk cip litar bersepadu, diikuti integrasi sistem.
"Satu lagi industri baharu yang bakal berkembang ialah pembangunan perisian pemetaan, termasuk pemetaan dalaman bangunan dan teknologi berkaitan. Ia mampu meningkatkan lagi ketepatan sistem autonomi," katanya.
Beliau turut melihat Asia Tenggara menawarkan peluang besar kepada syarikat Malaysia membangunkan teknologi autonomi yang disesuaikan dengan keperluan serantau seperti penggunaan kenderaan pemanduan sebelah kanan serta keadaan cuaca lembap.
"Malaysia mewakili kira-kira satu pertiga negara di dunia yang menggunakan kenderaan pemanduan sebelah kanan. Selain itu, faktor cuaca lembap dan keadaan persekitaran di rantau ini membuka banyak peluang kepada pembangunan teknologi autonomi tempatan," katanya.
Beliau berkata semua keutamaan itu merupakan antara cadangan utama SIDEC untuk dimasukkan dalam RS-2 bagi memastikan syarikat tempatan mampu mengambil bahagian dalam perkembangan industri pengangkutan di Selangor.











