SEREMBAN, 1 OGOS: Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,668 saluran bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dibuka serentak bermula 8 pagi ini.
Seramai 859,760 pemilih berdaftar termasuk 7,391 pengundi pos akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat dan menentukan kerajaan negeri untuk penggal akan datang.
Proses pengundian dijadualkan berlangsung hingga 6 petang ini, dengan pusat mengundi melibatkan sekolah, balai raya, dewan dan kolej.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 72 hingga 75 peratus pemilih menunaikan tanggungjawab mereka hari ini, manakala keputusan awal dijangka diumumkan seawal 10 malam dan keputusan penuh sebelum tengah malam.
Sebanyak 91.06 peratus atau 14,995 pengundi awal telah menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 28 Julai lepas, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus ditetapkan SPR.
Sementara itu, tinjauan Bernama di beberapa lokasi mendapati keadaan cuaca di kebanyakan kawasan adalah baik pagi ini.
Menurut ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di tujuh daerah iaitu Seremban, Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Tampin, Port Dickson dan Rembau dijangka cerah dari pagi hingga tengah hari.
Bagaimanapun, pada sebelah petang, kebanyakan kawasan di negeri itu dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi DUN, dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) bertanding di kesemua kerusi, diikuti Barisan Nasional (BN) (25), Bersatu (24), Perikatan Nasional (PN) (11) dan empat calon Bebas.
Barisan Jamaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula masing-masing menampilkan seorang calon.







