Imigresen tahan 41 warga asing dalam Ops Mahir

31 Jul 2026, 9:24 AM
Imigresen tahan 41 warga asing dalam Ops Mahir

SHAH ALAM, 31 JULAI: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor menahan 41 warga asing dalam Ops Mahir di sebuah premis industri di Kuala Selangor kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen.

Menurut JIM Selangor, operasi 28 Julai lalu yang melibatkan 18 pegawai penguat kuasa itu dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap sebuah premis yang dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar undang-undang.

"Operasi ini dilaksanakan hasil risikan dan pemantauan berterusan terhadap sebuah premis industri yang dipercayai menggaji atau melindungi warga asing yang melanggar peruntukan undang-undang imigresen negara.

"Hasil pemeriksaan mendapati seramai 41 warga asing telah diperiksa dan kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut," menurut kenyataan JIM Selangor menerusi Facebook.

JIM Selangor memaklumkan mereka yang ditahan terdiri daripada 33 warga Myanmar, lima warga Bangladesh dan tiga warga China.

Kesemua individu terbabit katanya, dibawa ke pejabat imigresen bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang berkuat kuasa.

"Kesalahan yang dikesan adalah di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

"Antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan serta melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," menurut hantaran itu.

JIM Selangor menegaskan pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI), mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen sah serta memastikan pematuhan terhadap undang-undang.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.