SPRM tubuh pasukan khas teliti laporan RCI Tabung Haji

30 Jul 2026, 11:11 AM
SPRM tubuh pasukan khas teliti laporan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan khas bagi menyemak dan meneliti Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang didedahkan kepada umum semalam.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pasukan itu diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Hafaz Nazar.

Menurut SPRM, pasukan itu akan meneliti sebarang isu perundangan melibatkan unsur rasuah, penyelewengan, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa atau pengubahan wang haram mengikut Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613) atau kesalahan yang berkaitan.

“SPRM komited untuk memastikan setiap isu dibangkitkan melalui laporan itu diteliti dengan sewajarnya dan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran undang-undang, tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu terlibat.

“Adalah ditegaskan SPRM sentiasa menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, akauntabiliti dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab selaras dengan usaha berterusan memperkukuh tadbir urus negara tanpa campur tangan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.

SPRM turut mengharapkan kerjasama daripada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai apa jua isu sehingga siasatan dapat dilengkapkan sepenuhnya.

Laporan RCI mengenai TH yang dimuat naik di portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam antara lain mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan yang lalu dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.

Laporan RCI bagi menyiasat isu pengurusan dan operasi TH daripada 2014 hingga 2020 itu turut menyenaraikan pelaburan bermasalah yang memerlukan audit forensik.

RCI berkenaan mendapati wujudnya transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.

-- BERNAMA

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.