SHAH ALAM, 30 JULAI: Pentadbiran negeri berhasrat mengadakan pertemuan dengan Rejimen 502 bagi membincangkan usaha meningkatkan penglibatan anak muda dalam Askar Wataniah menerusi program khusus bersama pimpinan belia di Selangor.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata penyertaan lebih ramai golongan muda dalam pasukan itu mampu melahirkan generasi yang berintegriti serta berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran.
Beliau berkata, di bawah portfolionya, penglibatan pimpinan khususnya Penggerak Belia Selangor (PeBS) dalam Askar Wataniah sentiasa digalakkan sebagai platform membentuk disiplin dan kepimpinan.
“Di bawah portfolio saya sebagai EXCO belia, memang menggalakkan penglibatan daripada pimpinan khususnya PeBS untuk mereka terlibat dalam Askar Wataniah.

“Insya-Allah kita akan bincang dengan pihak Rejimen 502 nanti untuk merangka satu program atau menyelaraskan kursus kepada anak-anak muda atau pimpinan belia di Selangor yang berminat menjadi Askar Wataniah libatkan diri.
“Kita akan merangka satu program khusus dengan Rejimen 502 yang melibatkan portfolio saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Belia Negeri Selangor untuk kita selaraskan program khusus kepada pimpinan PeBS,” katanya.
Beliau ditemui pada majlis perbarisan penutup Kursus Bakal Pegawai Sukarela Decentralised Siri 2/2026 di Kem Askar Wataniah Rejimen 502, Sungai Buloh hari ini.
Terdahulu, Mohd Najwan yang sebelum ini menerima kenaikan pangkat dari Prebet kepada Lans Koperal pada April lalu mengikuti kursus selama dua minggu menyifatkan latihan diterima memberi pengetahuan dan ilmu baharu tentang kepimpinan, undang-undang tentera serta pendedahan aktiviti fizikal.
Dalam pada itu, Asisten Ketua Staf Pasukan Simpanan, Markas Tentera Darat Mejar Jeneral Dato' Mohamad Razeif Che Ahmad berkata pihaknya mengalu-alukan individu pelbagai profesion menyertai Askar Wataniah.

“Askar Wataniah bukan sahaja boleh masuk sebagai anggota sahaja tetapi boleh ditauliah sebagai pegawai dengan syarat mempunyai sarjana selain mengikuti beberapa kursus termasuk bakal pegawai.
“Untuk Askar Wataniah tidak kira siapa 'anybody can come and join us'. Kita memang nak supaya masyarakat berumur 18 hingga 45 tahun tidak kira apa bangsa masuk sebagai Askar Wataniah,” katanya.
Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah (Bahagian Pembangunan), Pejabat Daerah dan Tanah Gombak Mazalan Zainuddin berkata perbezaan umur bukan penghalang untuk menyertai Askar Wataniah.
“Apa yang penting adalah minat, apabila dalam tentera bukan sahaja disiplin tetapi ilmu ketenteraan. Paling penting disiplin kerana apabila bila jadi tabiat akan kekal dalam diri selain lebih baik dalam kehidupan.
“Anak muda jangan takut, cuba dahulu dan tahu seronoknya. Kita akan 'expend networking' sebab kita bukan sahaja jumpa student, jumpa lebih ramai lagi di luar bidang,” katanya yang merupakan penuntut terbaik.












