SHAH ALAM, 30 JULAI: Seorang pembantu perancang acara didakwa di Mahkamah Majistret Klang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang penunggang motosikal yang maut selepas 13 hari menerima rawatan akibat kemalangan pada Mei lalu.
Low Kean Peng, 35, sebelum ini didakwa mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.
Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret A Karthiyayini, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Zulfiqar Zamir Amirul Nizam, 27, dengan menyebabkan kematian mangsa di Persiaran Kota, Klang, kira-kira jam 12.30 tengah malam pada 13 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan tidak melebihi 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Mahkamah kemudian melepas tanpa membebaskan (DNAA) tertuduh daripada pertuduhan terdahulu sebelum pertuduhan baharu dibacakan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 21 Oktober depan.
Pada 18 Mei lalu, Kean Peng mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan mangsa cedera parah.
Zulfiqar disahkan meninggal dunia pada 25 Mei lalu selepas 13 hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Klang akibat kecederaan yang dialami dalam kejadian itu.





