SHAH ALAM, 30 JULAI: Peranti dongle (USB khas) menjadi alat utama digunakan sindiket penggodaman Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk meluluskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah dengan bantuan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Ketua Pengarah JIM Datuk Zakaria Shaaban berkata, kegiatan itu membabitkan pegawai yang bersekongkol dengan ejen sindiket sebelum memasang peranti berkenaan pada komputer mereka bagi membolehkan sistem diakses menggunakan identiti palsu.
Beliau berkata kegiatan berkenaan dikesan sejak Mei lalu hasil risikan dan siasatan yang dijalankan pihaknya.
“Susulan itu, JIM bersama CyberSecurity Malaysia (CSM) mula menjalankan risikan dan siasatan yang turut membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya seperti dilapor Harian Metro.
Menurut Zakaria, pegawai yang terlibat menerima peranti dongle daripada ejen sindiket sebelum memasangnya pada komputer yang digunakan untuk mengakses sistem MyIMMs.
“Selepas itu, mereka akan membuat ID palsu dan memulakan proses meluluskan PLKS menggunakan ID palsu itu.
“Jadi tanpa peranti dongle itu, kegiatan sindiket tidak dapat dilakukan dan kita mengesahkan pegawai terbabit dalam perbuatan itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata siasatan masih berjalan dan pihaknya tidak dapat mendedahkan maklumat lanjut berhubung modus operandi sindiket berkenaan.
Dalam perkembangan sama, SPRM menumpaskan kegiatan penggodaman MyIMMs yang membabitkan permohonan serta kelulusan PLKS secara tidak sah menerusi Ops Crack dengan penahanan 12 individu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai JIM, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat JIM serta seorang pegawai polis.
Katanya, semua suspek berusia lingkungan 30 hingga 40-an itu ditahan antara jam 2 petang hingga 5 petang kelmarin di Ibu Pejabat SPRM dan JIM Pulau Pinang.
“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS tahun 2011 tanpa membuat bayaran levi pas yang dikeluarkan.
“Sebanyak 1,306 PLKS palsu dikeluarkan, menyebabkan kerugian kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM2.4 juta,” katanya.
Beliau berkata operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan JIM yang dilaksanakan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.
“Turut membantu dalam operasi ini ialah CSM, Telekom Malaysia dan Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM.
“Penggeledahan turut dijalankan di premis syarikat serta pejabat JIM di Pulau Pinang dan Putrajaya,” katanya.
Menurut Abd Halim, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.







