12 individu termasuk enam pegawai imigresen ditahan disyaki godam sistem MyIMMs

29 Jul 2026, 2:52 AM
12 individu termasuk enam pegawai imigresen ditahan disyaki godam sistem MyIMMs

SHAH ALAM, 29 JULAI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 12 individu termasuk enam pegawai Jabatan Imigresen Malaysia dan seorang pegawai polis kerana disyaki terbabit dalam sindiket menggodam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) bagi meluluskan permohonan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) secara tidak sah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman berkata kesemua suspek ditahan menerusi operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Crack yang dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia sejak semalam.

Menurut beliau, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat, tiga warga asing, empat pegawai Imigresen, dua pegawai Bahagian Teknologi Maklumat Imigresen serta seorang pegawai polis.

"Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menggunakan kuota PLKS 2011 tanpa membuat bayaran levi bagi pas yang dikeluarkan.

"Sebanyak 1,306 PLKS palsu berjaya dikeluarkan sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan yang dianggarkan RM2.4 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi yang dijalankan pada petang semalam menyaksikan kesemua suspek berusia antara 30 hingga 40-an ditahan di Ibu Pejabat SPRM dan Jabatan Imigresen Pulau Pinang.

SPRM turut menggeledah beberapa premis syarikat serta pejabat Imigresen di Pulau Pinang dan Putrajaya bagi membantu siasatan.

Menurut Abd Halim, operasi itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara Bahagian Perisikan SPRM dan Bahagian Perisikan Imigresen yang dijalankan sejak Mei lalu di sekitar Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Operasi berkenaan turut mendapat kerjasama Cyber Security Malaysia (CSM), Telekom Malaysia serta Bahagian Forensik Teknologi SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

"Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan reman," katanya.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.