Buruh didakwa atas lima pertuduhan merogol anak kandung

29 Jul 2026, 8:14 AM
Buruh didakwa atas lima pertuduhan merogol anak kandung

SHAH ALAM, 29 JULAI: Buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Setiu hari ini atas lima pertuduhan merogol anak perempuan kandungnya sejak awal tahun lalu hingga April tahun ini.

Tertuduh berusia 52 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa merogol anak kandungnya yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di Setiu.

Kesalahan berkenaan didakwa dilakukan pada Januari tahun lalu serta kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Mac dan April 2025.

Bagi pertuduhan keempat pula, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap mangsa ketika remaja itu berusia 14 tahun kira-kira jam 5 petang pada awal Januari tahun ini, lapor Harian Metro.

Sementara itu, bagi pertuduhan kelima, dia didakwa merogol mangsa di rumah sama kira-kira jam 8.30 pagi pada 12 April lalu.

Bagi semua pertuduhan, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan kerana merogol anak kandung yang mana hubungan itu tidak dibenarkan di bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang daripada 10 kali.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi kelima-lima pertuduhan dengan seorang penjamin. Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa, melapor diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai serta tidak dibenarkan tinggal bersama mangsa.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Akmal Mohd Jazlee dan Nur Atifah Manaf. Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Kategorijenayah

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.